ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang sukar untuk ditembusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 7 Oktober depan.

Beliau bagaimanapun yakin PN masih berpeluang membuat kejutan di kawasan itu berdasarkan gelombang sokongan terhadap gabungan itu seluruh negara.

"(Kubu BN di) Johor tu tebal (kuat) tapi semakin menipis dia punya ketebalan tu. Di Pelangai ni pun tak nipis sangat tapi kita akan cuba.

"Tak ada parti lain menang di situ. Dulu Long Nan (Datuk Seri Adnan Yaakob) punya kerusi tu... Meteri Besar Pahang sebelum Tok Wan (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 dan Majlis Angkat Sumpah Speaker dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di Wisma Darul Aman, pada Isnin.

Muhammad Sanusi kelmarin menzahirkan keyakinan menawan kerusi berkenaan ketika menghadiri program Sanusi Mai Pelangai di Felda Kemasul Bentong Pahang.

Beliau berkata, sebagai ketua dalam 'peperangan' beliau perlu menyuntik keyakinan dalam kalangan jentera parti mengenai peluangnya untuk merampas DUN Pelangai daripada BN.

"Saya sebagai pengarah pilihan raya mesti ada ‘confidence’... kalau saya kata saya pun tak boleh menang... orang ‘moloroih’ (hilang keyakinan) saya sebagai ketua.

"Saya kena ada keyakinan itu, barulah anak buah saya berkerja untuk menang... kalau saya pun tak ‘confidence’... saya pun tak tau, tak boleh cakap macam itu... saya cakap tu sebagai ketua dalam medan perang.

"Faktornya gelombang kepada kebangkitan PN di seluruh negara akan melanda Pelangai... ia belum berkurang, makin meningkat... sekarang ni makin hari makin meningkat," katanya.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

BN mengekalkan kerusi DUN Pelangai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada November lalu menerusi Datuk Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.