BENTONG: Peluang Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dilihat sama banyak, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun beliau optimis PN mempunyai kelebihan, impak daripada strategi pecutan akhir yang dilakukan parti itu dalam tempoh berbaki dua hari berkempen.

"Kita merasakan bahawa peluang (menang PRK Pelangai) tu setaralah antara kita dengan pihak BN terutamanya.

"Tapi kita mempunyai pecutan akhir, saya rasa boleh memberi kelebihan kepada kita," katanya ketika ditemui pemberita pada Ceramah Perdana 'Pelangai Bersedia Berubah', di Simpang Pelangai, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peratusan potensi kemenangan calon PN, Kasim Samat menjelang saat-saat akhir tempoh berkempen ketika ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin mengakui siri ceramah PN di Pelangai kurang mendapat perhatian kecuali Ceramah Perdana yang dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

Namun berdasarkan maklum balas pengundi ketika turun padang, beliau meletakkan keyakinan bahawa usaha untuk merampas kerusi DUN Pelangai agak memberangsangkan.

"Program ceramah, sebagaimana kita maklum, kawasan yang agak bukan terdedah sangat dengan bandar, saya rasa mana-mana pihak tak menarik perhatian," katanya.

PRK DUN Pelangai perlu diadakan setelah kerusi itu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

PN menampilkan semula calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, yang juga bekas guru, mesra dengan panggilan Cikgu Kasim.

Manakala BN meletakkan anak tempatan, Datuk Amizar Abu Adam dan seorang lagi calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli juga bertanding bagi merebut kerusi tradisi UMNO itu. - Sinar Harian