JOHOR BAHRU: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, masing-masing 42 dan 56 peratus setakat 3 petang ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebanyak 47 pusat pengundian dengan 294 saluran di Parlimen Pulai dan 14 pusat pengundian melibatkan 68 saluran di DUN Simpang Jeram, dibuka daripada pukul 8 pagi sehingga pukul 6 petang.

Untuk pengundian hari ini, sebanyak 205,810 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat mereka bagi kedua-dua kerusi tersebut.

Berdasarkan tinjauan di Pulai pagi tadi, proses pengundian berjalan lancar meskipun cuaca yang pada mulanya cerah dan mendung di beberapa kawasan pengundian, bertukar hujan lebat sehingga kira-kira pukul 12 tengah hari.

Di Simpang Jeram pula, cuaca kekal mendung daripada pagi sehingga tengah hari tadi.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika tinjauan ke pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah, memaklumkan bilangan pengundi yang menunaikan tanggungjawab di Parlimen Pulai agak rendah berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

-- BERNAMA