SELEPAS Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, Johor kini menjadi medan 'ujian kedua' untuk Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) menguji keserasian di bawah payung Kerajaan Perpaduan.

Perikatan Nasional (PN) pula, sudah tentu tidak mahu 'angin perubahan' yang dilihat beralih kepada gabungan itu pada PRN lalu, terhenti begitu sahaja.

'Gelombang hijau' didakwa mahu dibawa ke Selatan tanah air, tetapi PH-BN bersedia dengan 'benteng' kukuh untuk menyekat kemaraan gelombang berkenaan.

Fasa pertama berkempen telah selesai, enjin jentera parti yang dulunya kelihatan 'suam-suam kuku' mungkin kini sudah bertukar kepada 'gear 4' menuju hari pengundian, 9 September depan.

Siapa lebih ke hadapan?

Kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram masing-masing menyaksikan saingan tiga penjuru.

Di Pulai, PH meletakkan 'orang kepercayaan' Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub iaitu Suhaizan Kayat untuk mempertahan kerusi berkenaan yang dimenangi Allahyarham dengan majoriti 20,989 undi selepas menewaskan calon BN, Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Suhaizan yang telah tujuh kali bercuba nasib menjadi wakil rakyat ditentang calon PN, Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohd Fauzi.

Sementara di kerusi Simpang Jeram, perebutan melibatkan calon PH iaitu Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman; calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya yang juga pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular; serta calon Bebas, S Jeganathan.

PH menonjol di Parlimen Pulai

.


Memasuki hari kelapan kempen, penganalisis politik, Prof Madya Mohd Azhar Abd Hamid berpandangan Suhaizan, 50, dilihat lebih menyerlah berbanding dua lagi pencabarnya iaitu Zulkifli (PN) dan Samsudin (Bebas).

Faktor tersebut menurut beliau kerana Suhaizan bukan susuk asing dalam arena politik, selain pengalamannya tidak boleh dipandang enteng.

Begitupun, Mohd Azhar berkata tidak boleh dinafikan bahawa pengaruh yang dimiliki bekas bosnya, Allahyarham Salahuddin sedikit sebanyak menaikkan lagi populariti Suhaizan dalam kalangan rakyat.

"Allahyarham Salahuddin merupakan satu nama yang cukup kuat di Pulai dan apabila Suhaizan bertanding di kawasan ini secara tidak langsung memang kita tidak boleh menafikan bahawa pengaruh Salahuddin itu masih kuat dan  saya kira Suhaizan mendapat tempias daripada kekuatan pengaruh itu," katanya kepada Astro AWANI, hari ini.

.

Penyelidik di Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu juga yakin dengan sokongan daripada pengundi BN, kemungkinan majoriti yang akan dimenangi oleh Suhaizan pada kali ini adalah lebih besar, sekali gus mengekalkan status quo PH di Parlimen Pulai.

PN ada peluang di Simpang Jeram

Berbeza di Parlimen Pulai, senario di kerusi DUN Simpang Jeram, yang merupakan salah satu DUN yang terletak di bawah Parlimen Bakri, disifatkan berpihak kepada PN setakat ini.

.

Jelas Mohd Azhar, gabungan PH-BN 'lebih kritikal' di kerusi berkenaan, tetapi tidak kepada PN yang dilihat sangat berpotensi untuk merampas Simpang Jeram.

"Walaupun sebelum ini kerusi itu telah dimenangi oleh Allahyarham Salahuddin, namun begitu kita tidak boleh memperkecilkan kekuatan, gerak kerja, dan jentera (PN) yang ada di Simpang Jeram.

"Begitupun, sentimen  3R (agama, bangsa dan Institusi Diraja) dan pelbagai yang lain ini, boleh mempengaruhi sedikit sebanyak sentimen khususnya pengundi-pengundi Melayu di Simpang Jeram," kata beliau.

.

Beliau menambah sekiranya kerusi Simpang Jeram berjaya didominasi atau dimenangi oleh PN, ia akan memberikan beberapa dampak dan isyarat khususnya kepada PH-BN, memandangkan Johor dianggap 'bumi kelahiran' bagi UMNO.

"UMNO khususnya kita tahu di sini (Johor) UMNO bermula 1946 dan kekuatannya di sini.

"Sekiranya gagal kali ini mempertahankan kerusi yang sebelum ini dimenangi, itu maka isyarat yang lebih besar saya kira akan terkesan buat PH-BN, sama ada dari segi imej UMNO, mahupun kekuatan kerjasama yang baru saja dibina menerusi Kerajaan Perpaduan," ujar Mohd Azhar.

.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac 2022, BN meraih kemenangan selesa apabila berjaya memperoleh kejayaan majoriti dua pertiga dengan menawan 40 daripada 56 kerusi DUN.

PH menang 11 kerusi DUN, diikuti PN tiga kerusi; manakala PKR dan MUDA masing-masing satu kerusi.

Gelombang hijau 'menjalar' ke Johor?

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berulang kali bertitah menegaskan jangan ada pihak yang mencuba sebarang usaha untuk memecahbelahkan jambatan perpaduan Bangsa Johor, selai menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

Titah Sultan Ibrahim ini, pada pandangan Mohd Azhar menjadi 'tembok' paling utuh dalam membentuk percaturan politik di negeri itu, dengan isu 3R dilihat mereda sejak kempen PRK berlangsung berbanding dengan pilihan raya di negeri-negeri lain.

"Kalau kita lihat karakter Johor ini sangat berbeza dengan apa yang ada. Dari segi psikografiknya sangat berbeza dengan apa yang ada di sebelah pantai timur, utara, mahupun pantai barat.

"Ini kerana di Johor, dari segi psikografik lebih menekankan kepada maju, moden, dan berkemajuan.

"Titah Sultan Johor, (baginda) mahu agar berpolitik secara beradab dan jangan menggunakan sentimen-sentimen yang keterlaluan supaya Johor ini dapat kekal sebagai sebuah negeri yang dapat mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakatnya.

"Tetapi kalau kita lihat di tempat-tempat lain, contohnya di Kelantan, Terengganu, atau Kedah, kita lihat bahawa di sana itu 'game' dan platformnya berbeza sikit. Ini disebabkan mereka ingin menguasai dan (berharap) tidak ada satu parti pun boleh dakwa bahawa mereka lah yang paling berkuasa di situ berbanding dengan di Johor," katanya lagi.

Keserasian UMNO-DAP pengaruhi sokongan?

Mohd Azhar berpendapat proses untuk membina kesepaduan dan kesatuan termasuk dalam konteks UMNO-DAP sedang berjalan untuk memastikan akar umbi menerima kerjasama tersebut.

Ini termasuk melalui Deklarasi Shah Alam 2012 dan Deklarasi DAP@50 2016, yang mana DAP komited mempertahankan empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, Mohd Azhar berkata isu sebenar yang perlu diberi tumpuan ialah bagaimana UMNO boleh mendidik dan menyalurkan maklumat yang betul kepada para pengundi mengenai karakter dan gambaran sebenar DAP.

Ini sekaligus, ujar beliau membantu penyokong-penyokong UMNO terutamanya yang memiliki 'nilai sentimental' yang tinggi terhadap parti Melayu iyu, untuk memangkah rakan sepasukan UMNO iaitu PH termasuk dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Kalau peratusan keluar undi rendah pula...?

Mohd Azhar menjangkakan peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus adalah zon selamat untuk PH mengekalkan kemenangan di Parlimen Pulai.

Sebaliknya, katanya jika keluar mengundi merekodkan peratusan yang sangat rendah, sesuatu yang tidak dijangka boleh berlaku.

"Ada kemungkinan sekiranya yang tidak hadir itu ramai, contohnya kalau di Parlimen Pulai, pengundi Cina di (DUN) Perling misalnya, dan kemungkinan peralihan undi untuk sangat besar, maka keputusan itu mungkin berpihak kepada PN," katanya.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Parlimen Pulai mempunyai sebanyak 166,653 pemilih dengan 165,799 pengundi biasa; 927 terdiri daripada polis dan pasangan serta pengundi tidak hadir (PTH) sebanyak 26 orang.

Parlimen Pulai memiliki dua kerusi DUN iaitu Perling dan Kempas, dengan jumlah pengundi tertinggi pada PRK kali ini ialah kumpulan berumur 21 hingga 29 iaitu seramai 35,074.

DUN Simpang Jeram pula mempunyai 40,379 orang pemilih dengan 40,373 daripadanya adalah pengundi biasa manakala enam lagi pengundi tidak hadir luar negara, dengan jumlah pengundi tertinggi dalam kumpulan usia 30 hingga 39 tahun (9,326).