JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat tidak bimbang jika pengundi di kawasan itu membanding-bandingkan beliau dengan 'gurunya' Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Bagi Suhaizan, ia bukan satu isu yang berat sebaliknya percaya setiap pemimpin mempunyai kelebihan dan kualiti tersendiri.

"Saya tidak boleh menghalang orang untuk membandingkan saya dengan tokoh seperti Salahuddin... saya dan guru saya mempunyai kelebihan masing-masing dan rakyat berhak membuat penilaian sendiri.

"Bagaimanapun tanggungjawab dan misi saya adalah untuk memastikan legasi Rahmah yang dicetuskan Salahuddin akan diteruskan dan ditambah baik untuk membantu rakyat khususnya dalam golongan B40," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagi Suhaizan, walaupun kedengaran tanggungjawab itu agak berat, namun ia bukan satu tugasan asing kepadanya kerana sebelum ini Salahuddin kerap mengamanahkannya sebagai Setiausaha Politik beliau untuk menjaga kawasan Pulai.

Beliau berkata boleh dikatakan ketika itu hampir 70 peratus tugasannya adalah melibatkan penugasan di Pulai berbanding di Putrajaya dan sejak dari awal lagi beliau telah dilibatkan dengan inisiatif Rahmah khususnya bagi rakyat di Pulai.

"Ini legasi yang ditinggalkan oleh Salahuddin dan amanah bagi saya untuk meneruskan perjuangan ini untuk rakyat di Pulai apabila diberi mandat menjadi wakil rakyat di sini," katanya yang pernah berkhidmat sebagai Speaker DUN Johor.

Beliau juga memberi jaminan akan berkhidmat secara berhikmah dan tidak meminggirkan mana-mana lapisan masyarakat.

Pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PN Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi berikutan kematian penyandangnya Salahuddin pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept, diikuti hari pengundian 9 Sept.

-- BERNAMA