JOHOR BAHRU: Tidak berlaku tindakan boikot secara besar-besaran daripada pengundi India dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September ini.

Ia susulan gesaan aktivis Arun Dorasamy baru-baru ini yang meminta pengundi India agar tidak keluar mengundi sebagai tanda protes terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengislamkan seorang lelaki di sebuah masjid.

Menurut calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat beberapa wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) India dijangka mengadakan siri penerangan kepada komuniti India berhubung perkara tersebut.

“Saya serahkan kepada mereka untuk memberikan penerangan supaya tidak wujud kekeliruan berhubung isu ini.

“(Jadi tiada boikot?) Minimum lah…,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri jamuan bersama masyarakat India di Taman Tampoi di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Arun dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung klip video TikTok yang mempersoalkan tindakan Anwar membantu saudara baharu melafazkan kalimah syahadah di Klang.

Untuk rekod, Parlimen Pulai mempunyai 20,555 pengundi India atau 12.30 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi seramai 167,108.

Pengundi Melayu dan Cina pula masing-masing 73,814 dan 67,635, manakala lain-lain adalah sebanyak 5,104 pengundi.

Mengulas lanjut, Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menegaskan setiap undi tanpa mengira kaum adalah penting untuk menentukan kemenangannya pada 9 September ini.

"Semua undi penting, tak kira Melayu, Cina, mahupun India.

"Ini kerana bukan kita nak menang biasa-biasa, tetapi menang dengan majoriti yang meyakinkan," ujarnya lagi.

Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub mempertahankan kerusi Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas menang majoriti 20,989 undi.

Kerusi Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara Suhaizan; calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar; serta calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.