Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan tidak bersetuju dengan kenyataan Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang dikatakan berjanji untuk menghadiahkan dua ekor kambing untuk dikenduri jika parti itu menang di Rantau.

Dengan nada bergurau, beliau tidak menolak untuk ‘kambingkan’ pula Idris.

"Itu salah, tidak boleh janji macam tu. Itu dia janji lantak dialah. Nanti dia kita 'kambingkan',” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama di Rantau.

Pada malam Isnin, Idris semasa berucap di hadapan pengundi di daerah mengundi Taman Angsamas, berkata kenduri dua kambing itu akan diadakan jika calon Mohamad mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram dengan 300 undi.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan empat calon dalam merebut kerusi DUN Rantau iaitu daripada Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan, Dr. S. Streram (Pakatan Harapan) serta dua calon Bebas, Mohd. Nor Yassin dan R. Malarvizhi.

Hari pengundian akan diadakan pada 13 April manakala pengundian awal pula pada 9 April.

Kawasan DUN Rantau mempunyai 20,926 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir.