MUAR: Hambatan tugas memaksa Mohamad Faris Zaki, menjadi pengundi terakhir di Pusat Mengundi Sekolah Agama (SA) Tun Dr Islam, Bakri, di sini sebelum ia ditutup sepenuhnya pada 6 petang tadi.

Ini kerana dia antara petugas sukarelawan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diamanahkan menjadi pemandu arah untuk membantu pengundi di pusat berkenaan sebaik ia dibuka pada 8 pagi tadi.

Bagaimanapun Mohamad Faris, 28, berkata dia lega kerana dapat menjalankan dua amanah dalam satu masa iaitu sebagai petugas dan pada masa yang sama menjadi rakyat yang bertanggungjawab dengan mengundi wakil rakyat yang akan mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

"Pada mulanya saya terfikir untuk menjadi pengundi paling awal di sini dengan hadir seawal 6 pagi, namun pusat pengundian telah dipenuhi pengundi seawal pukul 7.30 pagi lagi.

"Apabila pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi, saya telah mula sibuk menjalankan amanah saya sebagai petugas," katanya kepada Bernama di Pusat Mengundi SA Tun Dr. Ismail, di sini hari ini.

Beliau yang mengundi di saluran lapan, sempat mengundi pada pukul 5.55 petang dan ia merupakan kali keempat dia menjalankan tanggungjawab itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, memandangkan ini kali pertama dia bertugas sebagai sukarelawan SPR, dia terlupa untuk mendaftarkan diri untuk proses pengundian secara pos sebagaimana petugas SPR yang lain.

"Sebagai individu yang pertama kali bertugas sebagai petugas SPR ia merupakan satu pengalaman yang baharu dan jika berpeluang saya turut berhasrat menjadi petugas pada masa yang akan datang," katanya yang merupakan seorang peniaga.

-- BERNAMA