SABAK BERNAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, rundingan agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di bahagian utara Selangor sudah dimuktamadkan kecuali satu yang masih dalam rundingan.

“Dari Sabak Bernam sampai ke Kapar semua dah selesai. Yang satu itu (belum selesai) di dalam Kuala Selangor,” katanya di sidang media Program Pengenalan SABDA di sini, pada Jumaat.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri bagaimanapun enggan mendedahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terbabit.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) memiliki ‘weight’ tersendiri di semua kawasan di Selangor, sekali gus membolehkan mereka berpotensi untuk menang.

“UMNO pernah menang pada 2008 dan 2013. Jadi masing-masing ada 'weight' yang tertentu, di kawasan anjung utara yang dikatakan kubu BN dah selesai awal.

“Ini menunjukkan kelicinan kita dalam pemberian kerusi yang mempunyai potensi untuk menang,” katanya.

Sementara itu, katanya sekiranya tiada pengumuman pembubaran DUN Selangor dibuat, maka ia akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini selepas tempoh penggalnya berakhir.