KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu menampilkan lebih ramai calon muka baharu dalam gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ia bagi menampilkan sesuatu yang lebih 'segar' daripada parti itu pada PRN Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan meskipun di sesetengah kawasan masih dianggap relevan untuk diletakkan calon lama.

"Kita tengok dah jadi amalan daripada PRN Melaka dan PRN Johor, banyak calon baharu diletakkan dan saya percaya keputusan akan dibuat dalam menonjolkan banyak calon baharu," katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam Selasa.

Mengenai persiapan menghadapi PRN, beliau berkata ia berjalan lancar dengan BN dan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan berganding bahu memberikan impak di kawasan yang ditandingi.

"Kita tunggu persiapan terakhir sebelum penamaan calon dan saya percaya pilihan raya kali ini berbeza dengan yang lepas.

"Tekniknya berbeza, taktik berbeza dan bagaimana kita sampai kepada pengundi juga sesuatu yang berbeza dengan cara lampau," katanya yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN enam negeri itu dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos ini.

-- BERNAMA