BANGI: Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan calon-calon muka baharu bagi bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan meletakkan calon muka baharu itu adalah sebagai menandakan semangat baharu daripada BN.

"Insya-Allah untuk BN calon-calon muka baharu akan dikemukakan sebagai menandakan semnagat baharu daripada kita," katanya ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Selangor di Bangi pada Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Mengulas mengenai keputusan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC untuk tidak meletakkan calon, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menghormati keputusan itu.

Malah, beliau juga yakin kedua-dua parti akan tetap bersama BN dan menyokong semua calon Kerajaan Perpaduan.

"Walaupun rakan-rakan MCA dan MIC membuat keputusan tidak mahu mengemukakan mana-mana calon daripada mereka... saya menghormati keputusan itu.

"Tetai saya (juga) menghomati keputusan kedua-dua parti bahawa mereka akan tetapi bersama BN dan menyokong semua calon-calon Kerajaan Perpaduan dalam PRN di enam negeri nanti," katanya.

Pada Rabu, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu bulan hadapan, bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).