MERBOK: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta agar pengundi di enam negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos depan untuk mencari pemimpin serius dalam menjaga kepentingan serta kemakmuran rakyat jelata.

Menurutnya, pilihan raya seharusnya menjadi medan terpenting untuk mengangkat sebuah kerajaan yang berwibawa dan bukannya seorang individu yang hanya menjadi pelawak politik.

"Saya tidak fikir (memilih pemimpin ini), ianya soal aura, (kerana) seorang pelawak mempunyai ramai pengikut bukan kerana aura, tetapi pelawak politik yang tidak mempunyai aura dianggap famous dan popular.

"Maka kita serah kepada kebijaksanaan pengundi di (terutama di) Kedah, yang kita cari ialah kerajaan yang credible, berwibawa, yang kita cari pemimpin yang serius yang menjaga soal kepentingan dan kemakmuran rakyat bukan hanya menjadi pelawak politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Jentera PRN Barisan Nasional dan UMNO Kedah di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Merbok pada Sabtu.

Dalam pada itu, Zahid yang juga Pengerusi BN menyatakan bahawa mana-mana pemimpin politik tidak seharusnya membuat kenyataan yang bersifat mendahului hukum Tuhan terutama melibatkan sasaran dalam PRN kelak.

Tegasnya, perkara utama yang seharusnya diberi penekanan adalah perancangan dan usaha dalam mendapatkan sokongan rakyat untuk memenangi PRN yang akan diadakan pada 12 Ogos depan.

"Saya fikir sebelum kita berusaha sehingga ke saat akhir pada hari mengundi, kita jangan bersifat mendahului hukum Allah, walaupun saya tidak ada perbezaan pendapat dengan beliau (Datuk Mahfuz Omar) atau mana-mana pemimpin,

"(Adalah) elok (kita fokus kepada) yang penting (dahulu iaitu), kita bekerja keras, baru kita boleh memberitahu bahawa kita berada di garis paling hadapan untuk memenangi pilihan raya untuk Dewan Undangan Negeri di enam negeri terutama (di negeri) Kedah," katanya lagi.

2 Julai lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menzahirkan keyakinan bahawa gabungan antara komponen berkenaan bersama Barisan Nasional (BN) berkemampuan untuk menawan serta mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri itu dalam PRN akan datang.

Menurut beliau, hasrat berkenaan akan dapat direalisasikan sekiranya berlaku peralihan undi daripada Perikatan Nasional (PN) kepada gabungan PH-BN sekitar 10 peratus.

Sementara itu Ahmad Zahid  mengesahkan bahawa UMNO telah menerima kesemua senarai calon yang akan ditampilkan pada PRN akan datang daripada enam Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Menurutnya senarai berkenaan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum pengumuman calon daripada BN yang akan diadakan pada 21 Julai depan.