KUALA LUMPUR: Calon Pakatan Harapan (PH) N.49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Zawawi Ahmad Mughni akan memfailkan petisyen pilihan raya susulan dakwaan hampir 2,000 kertas undi di kawasan itu hilang ketika proses penjumlahan undi pada Sabtu.

Jelasnya, laporan polis akan dibuat hari ini dan petisyen pilihan raya pula dalam tempoh 21 hari.

"Kami dapat mengesan kejanggalan ini apabila kami buat penjumlahan undi, bila kita jumlahkan kenapa terlalu banyak kertas undi yang hilang, bukan rosa. Kita ada Borang 14 yang dijadikan sebagai bukti dokumen yang sah untuk kita.

"Ia ditandatangani oleh ketua tempat mengundi (KTM). Bila sudah ditandatangani KTM bermakna ini adalah dokumen yang sah. Ada sesuatu yang tidak kena dengan penjumlahan ini.

"Alasan (KTM) ialah pengundi bawa balik (kertas undi). Jika jumlah itu... mungkin dalam satu saluran... 200 undi... kita boleh terima. Tapi bila kita jumlahkan, ada jumlah-jumlah yang besar dan yang meragukan di kawasan kubu kuat kami.

"Di Bandar Puteri tempat di mana undi kami banyak, disitulah berlakunya kehilangan kertas undi," katanya ketika ditemui media pada Ahad.

Beliau mendakwa, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya mengumumkan 110 kertas undi hilang sedangkan jumlah sebenar hampir 2,000.

"Apabila kita kira jumlah kertas yang hilang hampir 2,000 kertas undi. Tetapi yang diumumkan oleh SPR hanya 110 kertas undi.

"Bila kita tanya kenapa tak sama (jumlah kertas undi), dia (SPR) kata ada kesilapan dalam penjumlahan... dia tak bincang dengan kami kesilapan tersebut.

"Ia tidak sepatutnya berlaku, supaya adil saya minta benda ini kita bawa ke petisyen supaya keadilan dapat ditegakkan," katanya lagi.

DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, calon Perikatan Nasional (PN), Wan Dzahanurin Ahmad; dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (Afriena Shaqira Sariff).

Zawawi tewas dengan majoriti 167 undi kepada Wan Dzahanurin yang meraih 28,926 undi sementara beliau memperoleh 28,759 undi.

Manakala Afriena Shaqira pula hilang deposit dengan hanya meraih 1,341 undi.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2018, Zawawi menang di kerusi DUN itu dengan majoriti 5,842 undi.