BAYAN LEPAS: Selepas dihalau daripada menghadiri ceramah mega Perikatan Nasional (PN) di Permatang Sungai Dua, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai enggan terlalu berkecil hati terhadap insiden yang menimpa dirinya itu.

Sebaliknya, Dominic yang juga Timbalan Pengerusi PN itu menyifatkan, insiden yang berlaku terhadapnya pada Selasa lalu itu sebagai salah satu cabaran dalam berpolitik dan beliau akan tetap meneruskan aktiviti kempen di Bayan Lepas.

Malah beliau turut berpendirian, kejadian itu juga tidak sesekali menjejaskan kedudukan beliau serta imej PN itu sendiri.

“Tidaklah kecil hati, dalam arena politik apa sahaja boleh berlaku. Apa yang penting bagaimana untuk dapatkan keyakinan rakyat untuk menangkan PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri aktiviti kempen di Kampung Bagan, Teluk Kumbar, di sini pada Khamis.

Rakaman yang menyaksikan Dominic dihalau ketika ceramah berkenaan mula tersebar di media sosial selain menerima arahan untuk meninggalkan kawasan berkenaan.

Menerusi rakaman video yang tular itu, calon yang sepatutnya bertanding di kerusi berkenaan, Iszuree Ibrahim (Pas) turut kelihatan mengarahkan Presiden Gerakan itu meninggalkan kawasan.

Dominic bagaimanapun mengakui tidak menerima sebarang jemputan bagi menghadiri ceramah mega yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, ceramah berkenaan juga merupakan anjuran daripada Pas Seberang Perai Utara.

Konflik yang sedang melanda Dominic seakan memberikan bayangan bahawa kemelut antara Gerakan dan Pas itu masih menimbulkan perasaan kurang senang.

Sebelum ini, Iszuree yang merupakan Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri berkata, Dominic akan berdepan masalah yang besar bertanding di kerusi itu berikutan ia merupakan kerusi tradisi milik Pas.

Selain itu, beliau juga berpendapat, Dominic sukar mendapat undi daripada majoriti kawasan orang Melayu itu dan tindakan itu bakal memberikan laluan mudah kepada pihak lawan.