BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan mana-mana calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang supaya mengelak daripada perkara yang boleh bangkitkan kemarahan rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional yang juga Presiden UMNO itu berkata walaupun calon-calon PRN berkenaan berbeza pendapat dan pandangan politik namun mereka perlu bertindak secara rasional ketika berkempen.

"Begitu juga Kerajaan Perpaduan, Kerajaan MADANI yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri), kita berasakan dengan suara dua per tiga majoriti yang ada di Dewan Rakyat, inilah pertama kalinya selepas Pilihan Raya Umum ke-11, sebuah kerajaan mempunyai dua per tiga majoriti.

"Kita hendaklah mendukung kerajaan ini. Tidak bersetuju tidak apa, kita raikan perbedaan pendapat tetapi bagi saya eloklah kita mencari titik pertemuan bukanlah mencari titik perbedaan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Tuminah Hamidi di sini, malam ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata masyarakat tidak seharusnya berpolitik sepanjang masa sebaliknya 'politicking' hanya boleh dilakukan apabila tibanya pilihan raya supaya tumpuan boleh diberikan kepada usaha membangunkan negara.

"Selepas daripada itu, kita hendaklah membangunkan tempat kita, membangunkan negeri kita dan rakyat hendaklah bersatu padu supaya kita dapat bersama-sama bukan sahaja untuk memajukan kawasan kita, tetapi keluarga kita keseluruhannya," katanya.

Ahmad Zahid turut memohon kepada rakyat Perak supaya mengetepikan perbezaan dalam kalangan mereka, selain mesti meyatukan pemikiran dan tindakan serta jangan banyak berpolitik.

"Kami di Bagan Datuk amat menyokong kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak dan sokongan ini secara terbuka, dan secara berbisik memang kami lakukan secara konsisten," katanya.

-- BERNAMA