KUALA LUMPUR: Setiap parti politik yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu lebih bijak dalam menarik hati pengundi muda.

Menurut penganalisis politik, Profesor Ahmad Marthada Mohamad, jumlah 700,000 pengundi baharu yang akan menunaikan tanggungjawab dalam PRN Johor bakal memberikan satu impak dalam landskap politik negeri itu.

"Bagi saya, kalau kita lihat berdasarkan prestasi sebelum ini, kita tahu bahawa kecenderungan pengundi boleh kita jangkakan.

"Misalnya saluran 4, 3 dan 2 kita boleh jangkakan (kecenderungan undi). Namun bagi pengundi muda, kita tak boleh menjangkakan apakah kecenderungan mengundi dan pola pengundian mereka.

"Belum ada dalam sejarah pilihan raya di negeri kita di mana pengundi muda boleh mengundi. Sudah tentu, dengan jumlah agak besar iaitu 700,000 orang, ia berupaya memberikan impak dalam menentukan sama ada seseorang calon dan parti itu berupaya untuk menang dalam satu kawasan," jelasnya.

Tambah Ahmad Marthada, ia satu cabaran besar buat setiap parti politik yang akan bertanding dalam mencari kaedah terbaik demi menarik sokongan golongan pengundi muda, memandangkan kaedah lama yang sering digunakan dalam pilihan raya t mungkin tidak berkesan terhadap mereka.

Justeru, komunikasi lebih berkesan terutama menyentuh isu yang lebih dekat dengan pengundi muda, ujarnya, adalah langkah terbaik menjelang PRN Johor.

"Bagi saya, satu cabaran besar untuk menarik sokongan mereka. Sudah tentu kaedah yang digunakan sebelum ini tidak lagi sesuai.

"Kita tahu generasi muda tidak suka kaedah lama yang diguna pakai parti politik, seperti ceramah umum dan sebagainya.

"Kita tahu SOP tidak benarkan kaedah tersebut, jadi sudah tentu generasi muda yang sangat peka dengan penggunaan media sosial. Mereka akan memastikan bahawa apa juga isu yang akan digunakan berdasarkan media sosial," jelasnya lagi.