PORT DICKSON: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan pertembungan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin antara PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata semasa mesyuarat mengenai pengagihan kerusi, tiada masalah timbul antara PKR dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain kerana keputusan dibuat dengan semangat setiakawan.

"Kita dengan PH tiada masalah, berunding semasa mesyuarat... akhirnya kita patuh kepada semangat setiakawan, tetapi ini tidak berlaku di Larkin (dengan MUDA), sudah tentu dukacita," katanya kepada pemberita selepas hadir program bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson di sini hari ini.

PRN Johor kali ini menyaksikan pertembungan enam penjuru di DUN Larkin melibatkan Rasid Abu Bakar mewakili MUDA, Hairi Md Shah (Barisan Nasional) dan calon PKR Dr Zamil Najwah Arbain.

Turut bertanding di Larkin ialah calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Bujang, selain pakar motivasi dan pendakwah bebas Norramadan Buan yang merupakan calon Bebas serta calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Mohamad Riadz Mohamad Hashim.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Ditanya mengenai kesan daripada pertembungan kerusi tersebut, Anwar berkata rakyat harus menilai kedudukan sebenar bahawa perlunya satu pembangkang yang kuat, konsisten serta tidak boleh disogok dan dibeli.

Dalam pada itu beliau berkata PH masih belum menentukan calon Menteri Besar Johor jika menang nanti dan perbincangan sebelum ini lebih fokus kepada strategi kemenangan parti pada PRN Johor itu nanti.

"Calon Menteri Besar belum ditentukan, kita mahu pastikan kemenangan, ada perbincangan awal tetapi tiada yang serius, baru-baru ini kita bincang tentang kerusi, strategi bersama antara pakatan DAP serta Amanah (Parti Amanah Negara)," katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Amanah dan DAP bertanding menggunakan logo PH manakala PKR menggunakan logonya sendiri.

-- BERNAMA