MERSING : Saingan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu situasi yang berbeza jika dibandingkan dengan PRN Melaka yang lalu.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan di Melaka tidak seluas seperti di Johor selain perlu mengambil kira soal taburan penduduk.

“23 kerusi daripada 28 kerusi di Melaka majoriti memang Melayu jadi senang untuk saya buat ramalan, tetapi di Johor taburan penduduk itu ada pelbagai kaum yang ada di setiap DUN.

“Faktor pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik juga perlu ambil kira kerana ada 750,000 pengundi baharu. Satu DUN sekurang-kurangnya ada 6,000 pengundi baharu,” katanya ketika hadir melawat jentera parti di Pejabat UMNO Bahagian Mersing pada Selasa.

Ditanya mengenai misi BN untuk merampas kembali kerusi DUN Endau, Mohamad yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya BN yakin matlamat itu mampu dicapai namun beliau menegaskan agar jentera parti jangan terlalu selesa.

“Saya yakin kita mampu dapat kembali DUN Endau kerana ini memang tempat BN tapi jangan kita terlalu selesa.

“Jangkaan saya di zon pantai timur ini dulu kita menang lapan per lapan dan insya-Allah kali ini kita mampu dapat kemenangan sama dan perlu fokus sehingga 12 Mac.

"Kita perlu kerja kuat supaya kawasan Endau dan Tenggaroh akan kekal sebagai kawasan BN,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, soal untuk mendapatkan kemenangan majoriti bukan menjadi matlamat utama BN sebaliknya apa yang lebih penting adalah untuk memastikan parti itu terlebih dahulu berjuang agar hasrat untuk menubuhkan kerajaan tercapai.

Kerusi DUN Endau dan Tenggaroh merupakan kawasan tumpuan bagi PRN Johor bagi daerah Mersing yang masing-masing menyaksikan saingan lima dan empat penjuru.