JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kebanyakan cadangan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Presiden UMNO itu berkata beliau telah meneliti kandungan manifesto berkenaan dan mendapati sebahagian besar cadangan yang diketengahkan bukan perkara baharu kepada rakyat Johor.
"Saya telah meneliti dan mendapati sebahagian daripada manifesto itu telah dilakukan oleh kerajaan Johor di dalam pentadbiran yang lalu.
"Artinya kita menghormati apa yang mereka cadangkan tetapi Alhamdulillah ianya telah dilaksanakan oleh kerajaan Johor yang lalu," katanya kepada pemberita di Larkin Court di sini, pada Jumaat.
Menurut Zahid, setiap parti politik berhak mengemukakan tawaran masing-masing kepada pengundi, namun beliau berpendapat manifesto PH tidak menawarkan pembaharuan yang mampu mengubah landskap pembangunan negeri secara signifikan.
"Dan tidak ada sesuatu yang baharu yang boleh menjadi satu game changer mereka," katanya lagi.
Mengulas cubaan membandingkan prestasi Johor dengan Selangor sepanjang kempen pilihan raya, Zahid berkata perbandingan sedemikian tidak wajar dibuat kerana kedua-dua negeri mempunyai latar belakang ekonomi dan kekuatan yang berbeza.
"Tidak perlu melakukan perbandingan seperti itu kerana kita tidak boleh berbandingkan apple dengan apple.
"Johor terlalu ke hadapan bukan sahaja daripada FDI dan DDI tetapi juga daripada revenue yang diperolehi," katanya.
Beliau bagaimanapun menyifatkan persaingan antara parti-parti politik sebagai sesuatu yang sihat selagi ia memberi manfaat kepada rakyat dan menyumbang kepada pembangunan negeri.
"Semangat untuk bersaing itu baik tetapi insya-Allah bersainglah dengan sihat, healthy competitions," katanya lagi.