PONTIAN: Barisan Nasional (BN) Johor tidak akan meletakkan sebarang kuota atau peratusan kerusi untuk calon muda bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sebaliknya, semua aspek akan dinilai bagi menentukan calon yang akan bertanding untuk setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.

Pengerusi BN Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad bagaimanapun berkata, pihaknya tetap mendengar tuntutan masa kini yang mahukan orang muda sebagai calon wakil rakyat.

“Saya tidak boleh menetapkan begitu (peratusan calon muda) kerana apa yang berlaku di Melaka, apa yang berlaku di Sarawak semuanya ada kekuatan masing-masing.

“Di Sarawak ada kaedah dan caranya, di Johor pun ada kaedah dan caranya… jadi, untuk ini bukanlah kita menetapkan kouta atau menetapkan peratus dalam kita mengenengahkan semua calon-calon. Semua aspek dipertimbangkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Tahun Baharu Cina 2022 di Dewan Kompleks Muafakat Seri Pinggan, Benut, Pontian pada Jumaat.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua MCA bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong.

Hasni yang juga Menteri Besar Johor berkata, beliau tidak akan mengabaikan saranan dan pandangan pelbagai pihak dalam membentuk kerajaan negeri ini.

Katanya, beliau percaya parti akan mendengar dan mengambil langkah sewajarnya supaya dapat bersama-sama membangunkan masyarakat.