PAGOH: Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan isu yang telah selesai dilihat sengaja menimbulkan perbalahan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai individu yang pernah menjadi figura penting dalam negara, Najib seharusnya mendokong dan membantu dalam aspek kestabilan negara.

“Saya hairan dan takjub  orang seperti bekas Perdana Menteri ini boleh bangkitkan isu yang sudah pun selesai. Kerajaan Sabah berjalan dan berfungsi dengan cukup baik, saya tidak tahu dia nak korek cerita apa.

“Saya tidak tahu apa muslihat dan matlamat dia kalau tidak (hanya) niat yang jahat kerana (sengaja) menimbulkan perbalahan dan ketidakstabilan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Jualan Prihatin Rakyat PN di Dataran Pagoh Jaya, di Pagoh pada Jumaat.

Terdahulu, “perang mulut” antara dua bekas Perdana Menteri itu berterusan selepas Muhyiddin mendakwa Najib yang juga  Ahli Parlimen Pekan, cuba memutarbelitkan fakta kerana menuduh Bersatu menjadi punca kegagalan Muafakat Nasional.



SEMUA ARTIKEL DAN VIDEO BERHUBUNG PRN JOHOR ADA DI SINI


LAPOR LANGSUNG PRN JOHOR DI SINI



Tidak terhenti disitu, Najib kemudian turut mendakwa, Muhyiddin tidak bercakap benar tentang soal pencalonan Ketua Menteri selepas mereka bersama-sama memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Kata Najib, kenyataan Muhyiddin bahawa Perikatan Nasional (PN) hanya menamakan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri selepas kempen berakhir adalah tidak benar, kerana rekod media menunjukkan kenyataan itu dibuat pada 12 September 2020, iaitu hari pertama berkempen.

Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, tidak sepatutnya membangkitkan perkara yang telah disahkan dalam perlembagaan negeri.

“Ini tidak membantu negara dan negeri pun, sepatutnya dalam situasi hari ini dia membantu kestabilan dan bukan mempersoalkan perkara yang sudah sah dari segi perlembagaan negeri.

“Dalam sudut apa sekalipun tidak perlu dipersoalkan, sebab itu di Sabah luar biasa, UMNO ada di sana bersama kita, dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya tidak faham (tindakan Najib), saya sudah jelaskan dalam media, saya juga sudah maklumkan pendirian dan pandangan kita, cukuplah,”katanya.