SEGAMAT: Tiada pusat mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok di sini, yang ditutup mengejut seperti yang ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd Noh berkata, sebaliknya, kesemua 23 pusat mengundi di DUN itu beroperasi mengikut tempoh masa yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

“Setakat ini pihak polis maklum tentang kejadian yang tular itu, tetapi buat masa ini belum ada laporan dibuat oleh mana-mana pihak.

“Tetapi berdasarkan semakan, memang SPR sudah lebih awal mengeluarkan pemakluman bahawa ada beberapa pusat pengundian akan ditutup awal. Jadi tidak ada isu,”katanya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI.

Terdahulu tular video berdurasi 45 saat yang memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sabai di Pahang, Kamache Doray Rajoo mempertikaikan penutupan awal pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Cantuman Chaah.

Bagaimanapun, mengikut senarai waktu pusat-pusat mengundi yang dikeluarkan oleh SPR, daripada 23 pusat mengundi biasa di DUN Bekok, tiga daripadanya akan ditutup pada pukul 2 petang, manakala sebuah lagi ditutup pukul 4 petang berbanding 19 pusat mengundi lain ditutup sehingga pukul 6 petang.

Tiga pusat yang membenarkan pengundian sehingga pukul 2 petang ialah di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Ladang Gunung Mas, Dewan Orang Ramai Ladang Eldred dan SJKT Cantuman Chaah manakala Dewan Orang Ramai Ladang Gunung Mas pada pukul 4 petang.

Sementara itu, calon DAP DUN Bekok, M Kanan berkata, tidak sepatutnya pusat mengundi berkenaan ditutup lebih awal kerana  langkah itu menyekat pengundi-pengundi yang bekerja di sebelah pagi untuk keluar mengundi.

“Kalau saya sebagai calon mungkin tahu pusat mengundi itu tutup awal, tetapi bagi masyarakat kampung mereka tidak tahu waktu operasi pusat mengundi berbeza dengan yang lain.

“Lagi pula kawasan ini besar dan jarak mereka untuk pergi mengundi itu jauh, kenapa buat masa singkat?” soalnya lagi.