Skip to main content

Politik

PRN Johor: DAP persoal sama ada PAS akan sokong usul Kerajaan Perpaduan di Parlimen

41539824338_PKasthuriraani.jpg
Kasthuri mempersoalkan sama ada PAS akan menyokong usul Kerajaan Perpaduan di Parlimen susulan gesaan parti itu supaya ahli dan penyokongnya mengundi calon BN pada PRN Johor.
Advertisement

KLUANG: Parti Tindakan Demokratik (DAP) mempersoalkan sama ada PAS akan turut menyokong usul yang dibawa Kerajaan Perpaduan di Parlimen selepas menggesa ahli dan penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, Kasthuri Patto, berkata gesaan itu menimbulkan persoalan mengenai pendirian PAS di peringkat Persekutuan memandangkan parti itu sebelum ini lantang mengkritik Kerajaan Perpaduan.

"Jadi, jika Kerajaan Perpaduan membentangkan usul pindaan Rang Undang-Undang atau pindaan Perlembagaan Persekutuan di Parlimen, adakah PAS juga akan menyokong?

"Itu yang masih menjadi persoalan dan kita akan lihat apabila sidang Parlimen bersidang nanti," katanya kepada Astro AWANI.

Pada Ahad, PAS mengarahkan seluruh ahli dan penyokongnya supaya memberikan undi kepada calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi PN pada PRN Johor.

Walaupun BN merupakan komponen utama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, gabungan itu memilih untuk bertanding secara bersendirian dengan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN Johor kali ini.

Kasthuri turut menyifatkan gesaan PAS supaya ahlinya menyokong calon BN sebagai sesuatu yang menghairankan memandangkan, menurut beliau, terdapat pemimpin parti itu yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan terhadap masyarakat Cina dan India.

"Saya rasa itu sangat pelik sebab ada beberapa pemimpin PAS yang telah mengeluarkan kata-kata yang kurang profesional terhadap kaum India dan kaum Cina di Malaysia.

"Tetapi apabila memasuki gelanggang pertandingan ini, mereka menukar strategi, mungkin demi kelangsungan politik mereka," ujar beliau.

BN merupakan sebuah gabungan politik pelbagai kaum yang terdiri daripada tiga parti komponen utama, iaitu UMNO, MCA dan MIC.

 

 

Must Watch Video

Advertisement