PONTIAN: Meskipun menetap dan mencari rezeki di Kuala Lumpur, itu bukan penghalang untuk perantau pulang ke kampung halaman bagi menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung hari ini.

Anak kelahiran Benut, Pontian, Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin, 42, antara yang tidak melepaskan peluang untuk menyertai pilihan raya kali ini bagi memilih wakil rakyat.

Penyanyi dan penyampai radio popular itu ketika dihubungi Astro AWANI berkata, keterujaan dia untuk pulang mengundi adalah sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Dari Kuala Lumpur saya balik malam selepas selesai kerja bersama-sama suami. Dalam perjalanan itu separuh perjalanan, trafik sesak sedikit sebab ada kemalangan.

“Tetapi semuanya lancar sebab saya rasa ramai yang sudah balik awal atau bergerak balik (ke Johor) pagi tadi,” katanya.

Berkongsi lanjut, penyanyi yang popular dengan lagu Dag Dig Dug itu berkata, dia selesai mengundi di Sekolah Menengah Sri Tanjung sekitar pukul 12 tengah hari tadi.

Menurut penyanyi itu lagi, apa yang dikaguminya ialah prosedur operasi standard (SOP) sepanjang proses pengundian juga teratur dan dikendalikan dengan baik.

“Kalau kita tengok dari segi SOP, saya pasti mereka semua sudah biasa dan faham dengan pematuhan SOP,” ujar anak keempat daripada lima beradik itu lagi.

Selain pulang sebagai pengundi, Haiza menambah dia juga teruja kerana dapat mengimbau kenangan semasa zaman persekolahan.

Ujar Haiza, dia sempat merakam kenangan di pintu utama Sekolah Kebangsaan Sri Benut, yang disifatkan sudah ‘berwajah baharu’.

Dalam masa yang sama, selebriti yang mempunyai bilangan pengikut melebihi 240,000 di laman Instagram itu menasihati pengundi baharu agar membuat pilihan yang tepat demi masa depan.

“Jangan ikut nafsu atau apa yang orang kata atau baca di media sosial tanpa selidik terlebih dahulu,” nasihatnya.
Pada PRN Johor kali ini, DUN Benut menyaksikan persaingan empat penjuru.

Ia melibatkan penyandang kerusi itu, yang juga Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Isa Ab Hamid, selain calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Iskandar Noor Ibrahim dan calon PKR, Haniff @ Ghazali Hosman.