KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) mempunyai integriti yang tidak boleh dipertikaikan, kata Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah menegaskan pemimpin-pemimpin PN tidak mempunyai sebarang isu atau masalah untuk dipertahankan seperti parti lain.

"Perjuangan kita adalah perjuangan untuk masa depan bangsa kita. Perjuangan kita bukan untuk mana-mana pemimpin, kerana pemimpin kita tidak akan turun naik untuk menghadapi segala masalah.

"Pemimpin-pemimpin kita adalah mereka yang benar-benar dapat membuktikan dengan integriti yang tidak boleh dipersoalkan.

"Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tok Guru, Dominic Lau semua pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional adalah mereka yang bukan hanya berjiwa besar tetapi mempunyai sikap integriti yang tidak boleh dipersoal.

"Itulah pemimpin daripada Perikatan Nasional. Kita akan buktikan sekali lagi bahawa kalau kita diberikan kuasa di negeri Johor ini, Insya-Allah kita tidak akan mensia-siakan apa yang rakyat berikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Jentera Wanita PN pada Jumaat.

Dalam pada itu, Hamzah mengingatkan rakyat Johor bahawa hanya gabungan itu mampu memberikan pentadbiran yang stabil.

Beliau juga menegaskan, sekiranya PN diberikan mandat oleh rakyat Johor, gabungan tersebut tidak akan mensia-siakan amanah yang diberikan.

Beiau juga berkata, kejayaan yang dicapai negara pada masa ini terutama program vaksinasi datangnya daripada pemimpin besar PN iaitu Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri.

Tegas beliau, kestabilan pentadbiran PN yang diterajui Muhyiddin di peringkat Pusat bagaimanapun diganggu oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO.

"Apa yang terlihat hari ini, kejayaan yang kita perolehi datangnya dari seorang pemimpin besar, pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Akhirnya oleh kerana kehebatan, oleh kerana maju ke hadapan kerajaan Perikatan Nasional, yang tidak menstabilkan kerajaan persekutuan adalah mereka daripada Ahli Parlimen UMNO.

"Mereka sebenarnya yang menyebabkan turunnya kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Lupakah mereka yang menyebabkan negara terumbang ambing.

"Itu di peringkat nasional, di peringkat negeri Johor begitu juga, dalam keadaan rakyat tidak mahukan pilihan raya, mereka yang sengaja, dengan angkuh, dengan bongkak, dengan sombong mahu pilihan raya dilakukan, konon-kononnya mereka akan menang besar.

"Kita buktikan pada 12 Mac nanti bahawa kita akan menentukan masa depan negeri dan bangsa Johor ini," katanya lagi.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diadakan selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 22 Januari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai hari penamaan calon, manakala 12 Mac sebagai hari pengundian.