JOHOR BAHRU: Ini bukan pertandingan antara Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), kata Ketua Penerangan MUDA Johor, yang juga calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Mohd Rasid Abu Bakar.

Anak muda berusia 28 tahun itu berkata, hanya satu pertindihan yang berlaku antara dua parti tersebut, iaitu kerusi yang beliau tandingi, dan ia tidak membawa gambaran ada ketegangan antara dua parti berkenaan.

Katanya lagi, jika kemenangan berpihak kepada MUDA atau Keadilan, ia membawa maksud yang sama, kerana mereka berada pada pihak yang sama.

“Bagi saya, secara peribadinya, parti MUDA ini bukanlah fokus kita untuk pertembungan dengan Keadilan. Kalau kita tengok, incumbent (penyandangnya) adalah Bersatu, (jadi) kita masih berpendirian untuk memastikan pihak pembangkang masih boleh dapat kerusi tersebut.

We respect our friends, kita minta sokongan seluruhnya parti pembangkang, baik MUDA, Keadilan, DAP atau Amanah, we want to be together. Saya rasa jangan fokus tentang pertembungan kerusi sahaja. Daripada 56 kerusi di Johor ini, hanya satu yang bertindih,” katanya lagi.

jika kemenangan berpihak kepada MUDA atau Keadilan, ia membawa maksud yang sama, kerana mereka berada pada pihak yang sama

Pada 24 Februari lepas, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan keputusan parti untuk meletakkan calonnya di kerusi Larkin.

Tindakan itu menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan pimpinan dan akar umbi Keadilan, yang terlebih dahulu meletakkan calon mereka Dr Zamil Najwah Arbain, 48.

Bagaimanapun, selepas tempoh penamaan calon hari ini selesai, hanya satu kerusi yang bertindih di sebalik keputusan MUDA meletak tujuh calon, manakala Keadilan meletakkan 20 calon bagi PRN Johor.

Dalam pada itu, Dr Zamil ketika ditemui media berkata, beliau akan menyerahkan kepada pemilih dan penyokong parti masing-masing untuk menilai.

Dr Zamil ketika ditemui media berkata, beliau akan menyerahkan kepada pemilih dan penyokong parti masing-masing untuk menilai.

“Saya serahkan kepada pemilih dan penyokong untuk menilai apabila dia (MUDA) letak calon. Kita dah bincang, baik peringkat pusat, mahupun di peringkat negeri dah dibincangkan, saya dengar sampai semalam pun masih bincang.

“Tapi bila dia letak calon, saya serahkan kepada pengundi untuk menilai apa yang dia buat kali ini. Saya tak beri apa apa komen pasal MUDA, tapi serahkan pengundi,” katanya lagi.

Pada pilihan raya umum yang lepas, calon Pakatan Harapan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Izhar Ahmad berjaya memenangi kerusi Larkin dengan majoriti 8,590 undi, menewaskan pencabar dari Barisan Nasional dan Pas.

Namun, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan parti pada 29 Januari lepas, dan memutuskan untuk memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Kali ini, Larkin bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru, yang calon Perikatan Nasional Zulkifli Bujang, 44, ibaratkan, akan memberi kelebihan kepada 75,458 pengundi berdaftar di kawasan ini.

Larkin bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru, yang calon Perikatan Nasional Zulkifli Bujang, 44 ibaratkan, akan memberi kelebihan kepada 75,458 pengundi berdaftar di kawasan ini.

“Perikatan Nasional akan menawarkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang ada sebelum ini. Sebelum ini mereka melihat parti yang biasa, dan lali dalam kehidupan.

“Tetapi bila kita tawarkan corak politik, atau satu keadaan yang lebih menjamin masa depan, itu akan jadi pilihan penduduk Larkin,” kata bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudddin itu.

Dalam pada itu, calon Barisan Nasional Mohd Hairi Mad Shah, 38 berkata, beliau mengalu-alukan jumlah penyertaan yang ramai, kerana ia menandakan suburnya demokrasi di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO Johor itu berkata, beliau akan menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat di Larkin, dan yakin pembangunan yang dibawa UMNO dan BN di kawasan itu, akan dijadikan sandaran untuk mereka memberi sokongan kepadanya.

calon Barisan Nasional Mohd Hairi Mad Shah, 38 berkata, beliau mengalu-alukan jumlah penyertaan yang ramai, kerana ia menandakan suburnya demokrasi di negara ini.

"Ini satu sistem demokrasi, siapa saja calonkan diri, harus dialu-alu kan. Kami sedar dan beristiqamah dalam penerimaan calon, dan kita sedar enam calon ini muka baharu. Jadi saya akan berbekalkan dengan kelebihan diri saya, sebagai Ahli Majlis Bandaraya, yang sentiasa berada di lapangan, membantu rakyat selama dua tahun.

"Kami tetap istiqamah, semua parti berpeluang dan kami yakin, rakyat sekali lagi akan menterjemahkan kebijaksanaan dengan memilih BN yang telah perjuang 60 tahun lebih untuk bantu rakyat di Larkin, di bandar. Kita sedar pembangunan ini hasil daripada Barisan Nasional," katanya lagi.