JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan dokumen khusus untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang dikenali sebagai Ikhtiar BN untuk Johor, dengan satu matlamat utama yang didukungi lima ikhtiar.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad, ketika mengumumkan Ikhtiar itu berkata, melalui matlamat utama tersebut, Johor akan menjadi sebuah negeri yang makmur, didukungi naratif politik baharu yang matang lagi stabil.

Lima ikhtiar tersebut ialah – Kemajuan Ekonomi; Kesejahteraan Rakyat; Orang Muda Johor; Pentadbiran Integriti; dan Reformasi Politik dan akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

KEMAJUAN EKONOMI

Melalui ikhtiar ini, Hasni berkata, BN Johor akan mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang tertinggi kepada keseluruhan pelaburan Malaysia.

Ketidakstabilan politik dan pandemik ketika ini, katanya lagi, telah membantutkan kemajuan dan prestasi ekonomi negeri yang dahulu pernah disegani

Antara inisiatif yang tergaris ialah, melaksanakan pembangunan sosio-ekonomi di semua daerah Johor, seperti Muar sebagai hub perabot negara; mewujudkan Maharani Gateway; serta menjadikan Johor Bahru sebagai pusat perdagangan antarabangsa melalui Ibrahim International Business District.

Selain itu, beliau berkata, tiga impetus ekonomi telah dirancang bagi memulihkan ekonomi Johor, seperti Lembah Digital Selatan; menjadikan Johor sebagai Hub Agro Makanan; dan merancakkan semula sektor Minyak dan Gas.

Hasni berkata, BN Johor komited untuk mengurangkan karenah birokrasi di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan, memudahkan urusan pelaburan ke Johor, dan menggembleng tiga wilayah pembangunan ekonomi – East Coast Economi Region, Iskandar Regional Development Authority dan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle – demi memajukan sosio-ekonomi Bangsa Johor.

Menyentuh mengenai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata, BN Johor melalui inisiatif Johor Niaga akan melaksanakan inisiatif seperti pinjaman RM100 juta Bank Rakyat, modenisasi PKS, dan menggalakkan kemasukan PKS serantau ke negeri ini.

KESEJAHTERAAN RAKYAT

Hasni berkata, Kerajaan BN Johor melalui agenda Johor Berkebajikan komited memastikan negeri sifar miskin tegar menjelang 2025.

Antara langkah BN Johor untuk mengurangkan beban sara hidup rakyat ialah pemberian RM150 untuk keluarga berpendapatan antara RM3,001 hingga RM7,000, menaikkan nilai bantuan am JKM ke RM500, serta pelaksanaan Program Anak Angkat Makmur Johor untuk anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19.

Melalui inisitiaf Johor Berbudaya dan Berkepimpinan, Hasni berkata, BN Johor akan memperkasa budaya dan kesenian Melayu, Cina, India, dan lain-lain kaum.

BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI 


Selain itu, beliau berkata, BN Johor akan mewujudkan Institut Wanita Johor sebagai pusat pemerkasaan bakat, kepimpinan dan ekonomi golongan wanita.

`Menyentuh mengenai agenda memperkasa Syiar Islam, Hasni berkata, BN Johor akan menaik taraf Kolej Pengajian Islam Johor ke status, Kolej Universiti, memperkasa institusi Tahfiz Swasta, institusi wakaf, serta menaikkan elaun Imam, Bilal, Noja dan Siak.

BN Johor, kata Hasni lagi, tidak akan meminggirkan kesejahteraan hidup rakyat Johor, baik di Felda, pinggiran bandar, desa, mahupun di kawasan pendalaman.

“Kualiti hidup Masyarakat Desa Johor akan ditingkatkan dalam pelbagai aspek sosio-ekonomi seperti penciptaan pekerjaan dan pemerkasaan modal insan. Bagi mencapai hasrat tersebut, BN Johor akan melaksanakan Pelan Rejuvenasi Desa Johor secara berperingkat.

“Dalam tempoh 5 tahun, mobiliti rakyat akan lebih lancar dan ekonomi Johor akan semakin berkembang, disokong oleh Infrastruktur Awam Johor yang terangkum dan moden,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hasni berkata, isu perumahan di Johor memerlukan penyelesaian yang menyeluruh.

Selain daripada meneruskan inisiatif sedia ada, beliau berkata, tadbir urus Perumahan Johor akan diperkukuhkan lagi dengan inisiatif seperti mewujudkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor.

Selain itu beliau berkata, serta memperbanyakkan lagi rumah transit, rumah sewa kerajaan, dan memperluas program rent-to-own kepada golongan belia dan Orang Muda Johor.

Mengakui perubahan iklim telah memberi impak besar kepada Johor, Hasni berkata, Johor akan menggiat usahanya dalam pematuhan ESG, melalui agenda Johor Lestari.

“Melalui Johor Lestari, inisiatif Johor Green Deal akan dilaksanakan merangkumi aspek tenaga bersih (clean energy), pengangkutan dan mobiliti, mitigasi bencana alam dan bandar rendah karbon.

“Kesemua aspek ini akan dilaksanakan secara berperingkat dalam masa lima tahun dengan dukungan Syarikat Berkenaan Kerajaan (GLC), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak-pihak berkuasa pembangunan wilayah di Johor,” katanya lagi.

Selain itu, Hasni berkata, BN Johor akan memberi perhatian dalam usaha mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang dan sektor baharu.

BN Johor juga, katanya lagi, akan menggalakkan penghijrahan semula golongan profesional dari Singapura ke Johor.

“Untuk tujuan tersebut, Johor Kerja akan melaksanakan dua inisiatif besar, antaranya adalah menawarkan 100,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang yang memfokuskan kepada pertanian moden, ekonomi digital dan ekonomi kreatif," katanya lagi.

Bagi memenuhi kehendak pasaran semasa, Hasni berkata, BN Johor akan menyediakan pelbagai program peningkatan kemahiran berteraskan ekonomi masa hadapan melalui Johor Berkemahiran.

Tiga inisiatif utama akan dilaksanakan, katanya lagi, adalah membudayakan ‘Ekonomi Kreatif, Ekonomi Rakyat’ melalui pelbagai program sokongan dan geran tahunan.