JOHOR BAHRU: Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Datuk Mohd Izhar Ahmad mengumumkan keputusannya meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas alasan hilang kepercayaan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang sebelum ini penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin berkata, Muhyiddin tidak berusaha untuk memulihkan perpecahan Bersatu selepas berpisah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Serentak keputusan itu, beliau menyeru kepada pengundi Johor untuk memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) Johor pimpinan Datuk Hasni Mohammad.

“Tindakan ini terpaksa saya ambil dengan berat hati setelah parti yang saya dokongi selama ini, telah hilang hala tuju dan gagal meneruskan agenda penubuhannya sebelum ini.

“Pada hemat saya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin bukan saja gagal membawa parti ke tahap lebih baik, malah tidak berusaha memulihkannya selepas perpisahan dengan kumpulan Dr Mahathir.

“Sikap seperti ini bukan saja rencatkan perkembangan parti, malah ia jejaskan idealisma perjuangan parti,” katanya dalam satu sidang media khas di sini, hari ini.

Mohd Izhar, merupakan bekas wakil rakyat kedua dari Bersatu, yang mengambil tindakan keluar parti selepas Mazlan Bujang membuat keputusan demikian pada Khamis lepas.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, Mohd Izhar bertanding di bawah logo Parti Keadilan Rakyat, dan memenangi saingan tiga penjuru di DUN Larkin dengan majoriti yang agak besar, iaitu 8,590 undi.

Pada ketika itu, beliau meraih undi sebanyak 25,012 undi, menewaskan calon BN Datuk Yahya Jaafar (16,422 undi), dan calon Pas, Zakiah Tukirin (3,233 undi).

Mengulas mengenai kemungkinan persepsi negatif terhadap tindakannya itu, Mohd Izhar berkata, beliau bukan orang politik, tetapi dipilih oleh pimpinan Pakatan Harapan ketika PRU14 untuk bertanding di DUN tersebut.

Katanya lagi, apa yang penting ialah, tanggungjawab serta khidmat bakti yang telah beliau curahkan kepada pengundi DUN Larkin serta negeri Johor secara amnya di bawah portfolio beliau.

“Sewaktu PRU14, bukan kami (PH) hebat, tetapi kemenangan ketika itu atas desakan rakyat. Rakyat mahu perubahan, a new norm. Perkara itu berlaku, jadi tak letak saya pun orang lain menang.

“Tetapi bila saya menang bersyukur, dapat berkhidmat untuk rakyat. Dan prestasi saya sebagai wakil rakyat, sebagai Exco, saya berjaya lepasi sasaran KPI (petunjuk prestasi utama). Saya tak ada sebarang kontroversi, apa-apa bad record. Saya bekerja untuk rakyat,” katanya lagi.

Mohd Izhar berkata, beliau tidak akan lagi bertanding di DUN Larkin atau di mana-mana kawasan, namun, akan menyertai UMNO serta terus melakukan kerja-kerja khidmat kepada masyarakat.