KUALA LUMPUR: Perjuangan menghapuskan budaya politik wang oleh parti MUDA sudah bermula dengan pelaksanaan kawalan pendanaan politik dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor parti tersebut.

Menurut Setiausaha Agung MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, langkah itu dilaksana bagi memastikan ketelusan dalam gerak kerja parti sebagai langkah proaktif sementara menunggu wujudnya Akta Pendanaan Politik.

Katanya, ia adalah sesuatu yang belum pernah dibuat oleh mana-mana parti sebelum ini dan berharap dapat menjadi contoh bahawa ia boleh dilakukan.

“Sewaktu kita berkempen dan kita buat pengumpulan dana dan penyumberan daripada orang ramai, kita pastikan bahawa setiap dana yang masuk ke dalam parti MUDA itu diisytiharkan.”

“Kita tahu berapa yang masuk, berapa yang keluar dan kita letak siling pendanaan berjumlah RM200,000,” katanya.

Amira yang juga calon MUDA N.41 Puteri Wangsa tidak menafikan bahawa ada pihak pendana yang ingin memberi sumbangan besar kerana mereka percaya pada perjuangan MUDA, tetapi mereka tidak mengambil lebih daripada apa yang telah ditetapkan.

Malah surat dikeluarkan kepada pendana menyatakan bahawa setiap sumbangan yang diterima adalah tanpa sebarang prasyarat.

“Kita ingin pastikan bahawa mereka membantu kerana benar-benar percaya dengan kita, satu-satunya janji yang kita beri adalah untuk memperjuangkan suara rakyat dengan betul dan bukannya janji projek, kuasa dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Selain itu, MUDA juga menetapkan bahawa setiap calon perlu mengisytiharkan perbelanjaan mereka sepanjang kempen yang tidak boleh melebihi RM100,000.

Beliau percaya langkah ini adalah satu bentuk ketelusan yang boleh memulangkan kembali kepercayaan rakyat kepada parti politik dan ahli-ahli politik serta sistem demokrasi itu secara keseluruhannya.

Tonton temu bual penuh bersama Amira dalam program Agenda AWANI Johor Memilih dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:

PRN Johor | MUDA mulakan inisiatif pendanaan politik telus


Agenda AWANI: PRN Johor | Pikat Hati Pengundi