KUALA LUMPUR: Parti Pas menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan hati yang lapang.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu yang bersama-sama dengan Perikatan Nasional (PN) akan terus menyantuni rakyat berdasarkan peningkatan sokongan yang ketara di kebanyakan kerusi yang ditandingi.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta jentera parti yang bertugas dalam memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar dan selamat.

“Pas turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang telah mengundi calon-calon Perikatan Nasional, khususnya yang dikemukakan oleh Pas.

“Sokongan yang diberikan adalah amat bermakna bagi meneruskan agenda prihatin, berintegriti dan berkebajikan, demi kemaslahatan negeri dan negara,” kata beliau dalam kenyataan yang dikongsi di halaman Facebook rasminya pada Ahad.


KEPUTUSAN PILIHAN RAYA NEGERI JOHOR 2022

Pada PRN Johor semalam, gabungan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas meraih kemenangan selesa menerusi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi.

Pakatan Harapan (PH) pula meraih 11 kerusi sementara PN yang turut dianggotai oleh Pas hanya mampu menawan tiga kerusi.

Salah satu daripada 11 kerusi yang dimenangi PN adalah melalui Pas di kerusi DUN Maharani.

Pas meletakkan calon di 15 kerusi pada PRN Johor.