PUTRAJAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu mewujudkan pembaharuan politik di Johor dengan mengetengahkan pemimpin yang bersih, kredibel, amanah dan benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat.

Menawarkan 42 calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, parti yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad itu akan mengusahakan sembilan aspirasi untuk rakyat Johor sekiranya mandat diberikan kepada mereka pada 12 Mac nanti.

Pertamanya ialah mewujudkan Johor yang bersih, cekap, amanah dan bermaruah dan yang kedua, mengutamakan ekonomi rakyat tempatan selain merapatkan jurang ekonomi antara daerah, memberi peluang sama rata kepada yang terkebelakang.

BACA: PRN Johor: Pejuang fokus menang kerusi sebanyak mungkin, calon MB kemudian - Mukhriz

BACA: Pejuang bawa imej Tun M bagi kempen PRN Johor

Selain itu, Pejuang juga mahu menghasilkan Johor yang meraikan bakat anak muda dan baharu, Johor yang tidak meninggalkan sesiapa dan Johor yang menjaga alam dan sekali gus, alam pula menjaga rakyat negeri itu.

Bahkan, aspirasi Pejuang juga adalah mahu menjadikan negeri itu sebagai penjaga Selat Melaka dan pusat ekonomi selatan serta yang paling penting, parti itu mahu memastikan rakyat Johor diutamakan.

Pejuang juga menawarkan kepada rakyat Johor satu harapan ke arah kepimpinan politik baharu yang bersih, berintegriti dan berkhidmat untuk mencorak pembaharuan politik Malaysia.

“Tawaran yang akan kita buat kepada rakyat Johor datangnya daripada maklum balas diterima daripada pelbagai pihak serta perbincangan dengan rakyat di lapangan.

“Ia juga daripada NGO dan ahli akademik yang membantu kami untuk merangka satu tawaran yang menyeluruh kepada rakyat. Harapan kami agar rakyat Johor dapat terima baik tawaran Aspirasi Johor daripada Pejuang.

PRN Johor | Hanya calon bersih rasuah - Pejuang

“Harapan kami juga agar aspirasi ini dapat meyakinkan mereka berkaitan keupayaan kami untuk melaksanakan tawaran ini dan beri mandat kepada calon Pejuang yang bertanding dalam PRN Johor,” kata Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Aspirasi Johor Parti Pejuang Tanahair di Putrajaya pada Rabu yang turut dihadiri Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad.