JOHOR BAHRU: Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menganggap kenyataan Datuk Nur Jazlan Mohamed bahawa pengundi Cina akan kembali berpihak kepada Barisan Nasional (BN), tidak lebih untuk mengelirukan pengundi Melayu dan India.

Calon Pakatan Harapan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling itu berkata, kenyataan itu tidak lebih dari sekadar ‘skrip’ biasa UMNO dan BN.

Jelas bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu lagi, naratif itu digunakan untuk menunjukkan bahawa orang Melayu dan India patut kembali menyokong BN, memandangkan pengundi Cina juga sudah kembali menyokong parti itu.

Jelas bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu lagi, naratif itu digunakan untuk menunjukkan bahawa orang Melayu dan India patut kembali menyokong BN, memandangkan pengundi Cina juga sudah kembali menyokong parti itu.

“Di Johor, untuk memenangi sebahagian besar kerusi di antara 56 kerusi DUN Johor ini, anda perlu mempunyai jumlah undi yang mencukupi dari ketiga-tiga kaum ini.

“Situasi sekarang agak menarik kerana, berdasarkan penilaian kami, ramai pengundi Melayu merasakan UMNO tidak akan menang. Malah satu suratkhabar Melayu utama juga menggunakan tajuk bahawa keadaan seperti 50-50 untuk UMNO,” katanya kepada sidang media di Bilik Gerakan DAP Perling, di sini hari ini.

Portal The Malaysian Insights hari ini memetik seorang penganalis sebagai berkata, masyarakat Cina akan menjadi pengundi penentu bagi sebahagian besar kerusi yang mempunyai komposisi kaum yang seimbang antara Melayu dan Cina.

Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa, Lau Zhe Wei berkata, undi Melayu yang pecah, menyebabkan UMNO cuba menarik sokongan pengundi Cina di kawasan campuran.

“UMNO sedar agak sukar untuk memenangi undi masyarakat Cina, kerana mereka lebih berat ke arah DAP. Tidak lupa juga faktor masyarakat Cina tidak begitu gembira dengan UMNO dan MCA,” katanya seperti dilaporkan portal itu lagi.

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk membuka sempadan negara pada 1 April, adalah semata-mata untuk mengelakkan pengundi luar balik untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, ia adalah sesuatu yang pelik memandangkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) sendiri telah memberi cadangan bahawa sempadan sepatutnya dibuka lebih awal, iaitu pada 1 Mac lepas.

“Isu pembukaan sempadan ini adalah antara isu utama bagi masyarakat Johor, khususnya yang tinggal di bahagian Selatan. Jadi pengumuman Perdana Menteri itu seakan-akan cuba mengelakkan rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura untuk kembali mengundi,” katanya lagi.