KUALA LUMPUR: Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang dijangka rendah.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, besar kemungkinan ada pihak yang akan mempersoalkan kewajaran untuk mengadakan pilihan raya ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, isu membabitkan logisitik, guna tenaga dan jentera memainkan peranan penting dalam PRN Johor.

"Saya jangkakan peratusan keluar mengundi rendah. Yang setia pada parti akan keluar sebagaimana yang kita lihat di Melaka.

"Ini kerana parti siasah yang ada kekuatan guna tenaga dan logistik akan menggunakannya semaksimum yang boleh untuk membawa keluar penyokong mereka.

"Jadi, saya tidak menjangkakan satu peratusan yang luar biasa akan keluar untuk mengundi kali ini kerana kita juga tahu ramai yang tinggal di Singapura dan Negeri Sembilan.

"Apakah mereka ini bersedia untuk pulang selepas beraya? Dan ada yang tidak boleh pulang sama sekali," katanya kepada Astro AWANI, di sini, hari ini.

Bercakap mengenai pengundi muda, Sivamurugam berkata, pemilihan calon muda dalam satu-satu parti juga perlu memiliki reputasi, kredibiliti dan mampu mewakili semua peringkat umur.

Katanya lagi, kelompok pengundi yang perlu diberi tumpuan ialah yang berumur antara 18 dan 20 tahun, dianggarkan sekitar 170,000 daripada sejumlah lebih 760,000 pengundi baharu.

"Barangkali calon muda akan dipilih, tetapi setiap parti politik akan merujuk kepada lokaliti kawasan mereka di mana di setiap kawasan itu, calon itu akan menjadi 'poster boy'.

"Calon itu tidak boleh menjadi liabiliti, sebaliknya adalah aset dan dia perlu ada reputasi dan kredibiliti. Saya percaya dalam konteks ini, yang penting bagaimana calon itu boleh mewakili kesemua peringkat umur walaupun seseorang calon muda dipilih.

"Malahan kita pernah lihat di Melaka, seorang calon berumur 21 tahun dipilih tetapi tewas," ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Sivamurugam tidak menolak kemungkinan penyandang kerusi Parlimen akan menawarkan diri untuk bertanding pada PRN Johor kali ini.

Namun, jika situasi itu berlaku, katanya, rakyat akan mempersoalkan apakah parti tersebut ketandusan calon yang berkredibiliti untuk ditampilkan.

Pada PRN Melaka ke-15, jumlah peratusan keluar mengundi ialah 65.85 peratus, kurang daripada jangkaan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 70 peratus.

PRN Johor bakal diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan susulan perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar setelah menerima menghadap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kedudukan kerajaan pimpinan Hasni hanya memiliki kelebihan satu kerusi apabila blok kerajaan hanya menguasai 28 daripada 56 kerusi DUN, berbanding Pakatan Harapan 27.