JOHOR BAHRU: Walaupun kekangan usia malah ada yang terpaksa menggunakan kerusi roda, namun semangat warga emas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tidak pernah luntur apabila mereka merupakan antara kelompok terawal hadir di pusat mengundi di beberapa kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini.
Tinjauan Bernama di beberapa pusat mengundi mendapati ada dalam kalangan warga emas hadir seawal sebelum 7 pagi lagi bagi mengelakkan kesesakan dan cuaca hujan, selain membolehkan mereka menyelesaikan urusan mengundi sebelum meneruskan rutin harian masing-masing.
Di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar, Kulai, pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Gan Hin, 70, antara yang terawal tiba apabila hadir seawal 6.40 pagi bagi membolehkan proses mengundi diselesaikan sebelum memulakan tugas di sebuah kebun di Indahpura.
“Majikan juga memberi saya masa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sebelum masuk bekerja. Saya memang akan undi setiap kali ada pilihan raya,” katanya.
Di Johor Bahru pula, warga emas Rohani Sohod, 84, yang berkerusi roda turut menjadi antara pengundi terawal hadir di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Melati bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Seorang lagi warga emas Sapiah Abdul Rahman, 74, berkata, beliau sengaja datang awal bagi mengelakkan kesesakan, selain mahu menikmati suasana meriah di pusat mengundi.
“Saya rasa seronok, macam Hari Raya. Saya sihat, jadi saya memang seronok dapat pergi mengundi, dapat jumpa kawan-kawan juga,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi di Dewan Raya Taman Ungku Tun Aminah, di sini.
Salma Wahid, 74, yang tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab mengundi sejak 1981 berharap lebih ramai golongan muda tampil mengundi kerana percaya idea dan pandangan mereka penting dalam mencorakkan masa depan Johor.
Sementara itu, hujan lebat di Muar tidak menghalang sebahagian pengundi khususnya warga emas untuk keluar lebih awal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Pesara swasta P. Gunasekaran, 63, berkata, beliau memilih keluar awal kerana bimbang keadaan cuaca selain mahu menyelesaikan urusan mengundi terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti lain.
“Saya keluar awal sebab risau hujan. Penggal lepas pun hujan juga ketika hari mengundi, tetapi kali ini lebih lebat. Hujan mula turun sekitar 4 pagi, berhenti seketika sebelum kembali lebat sekitar 7.30 pagi.
“Saya bangun seawal 4 pagi, bersiap dan keluar dari rumah pada 6 pagi sebelum tiba di pusat mengundi sekitar 7 pagi,” katanya yang mengundi bagi DUN Maharani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muar.
Seorang lagi pesara Rokiah Yunos, 80, berkata, beliau turut mengambil keputusan keluar awal selepas menunaikan solat Subuh bagi mengelakkan kesukaran sekiranya hujan berterusan.
“Saya keluar rumah kira-kira 7.30 pagi. Alhamdulillah, tidak perlu menunggu lama kerana sebaik tiba, pagar pusat mengundi dibuka dan saya terus dapat mengundi. Saya tidak pernah ketinggalan menunaikan tanggungjawab ini, cuma kali ini saya datang lebih awal daripada kebiasaan kerana bimbang hujan,” katanya.
Lebih 2.7 juta pengundi akan memilih wakil rakyat masing-masing hari ini bagi mengisi kekosongan 56 kerusi DUN yang ditandingi 172 calon di 1,076 pusat mengundi di seluruh Johor.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA