KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri Johor perlu mempamerkan prosedur operasi standard (SOP) mengikut kesesuaian kesihatan semasa di Malaysia.

Felo Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Hamidin Abd Hamid berkata, usaha itu dilaksanakan demi memastikan kejayaan demokrasi di negeri itu khususnya bagi mendepani lonjakan kes jangkitan COVID-19, kebelakangan ini. 

Menurut Hamidin, apa yang penting ketika ini ialah kesesuaian SOP yang akan dilaksanakan demi mencari titik keseimbangan di antara keselamatan kesihatan dan kesuburan landskap demokrasi.

"Dalam konteks ini apa yang saya rasakan sangat penting sekali ialah berdasarkan kesesuaian situasi. Contohnya, kempen dan pertemuan boleh dibenarkan tetapi dengan adanya pengawalan SOP seperti mengehadkan jumlah pengunjung, tempoh masa, tempat yang sesuai dan SOP lain.

"Saya kira itu boleh dilakukan dengan baik oleh parti-parti politik dan boleh dipantau oleh pihak-pihak berkuasa," katanya dalam satu temu bual dengan Astro Awani, di sini, pada Rabu.       

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata SOP bagi PRN Johor berbeza sedikit daripada SOP PRN Melaka dan Sarawak kerana ancaman COVID-19 varian Omicron.

Katanya, PRN Johor yang sepatutnya diadakan sebelum 23 Mac ini ada sedikit perbezaan kerana varian Omicron mempunyai kadar penularan jangkitan lebih tinggi.

BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI



Hari ini, negara mencatatkan peningkatan kes harian COVID-19 kepada 17,134 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 2,956,332 kes.

Jelasnya lagi, daripada 17,134 kes harian yang dicatatkan, sebanyak 17,048 kes bersamaan 99.5 peratus merupakan pesakit kategori 1 dan 2.