Skip to main content

Politik

PRN Johor: Tun Faisal persoal rundingan UMNO–Pas, dakwa ancam kedudukan PN

tun faisal
Tun Faisal menegaskan bahawa jika trend rundingan di belakang tabir berterusan, ia boleh mencetuskan ketidaktentuan yang lebih besar dalam landskap politik. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

JOHOR BAHRU: Pendedahan mengenai rundingan antara UMNO dan Pas di Johor telah mengundang kritikan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang melihat perkembangan itu sebagai gerakan, yang boleh menggugat kestabilan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, percanggahan kenyataan daripada pimpinan kedua-dua parti membuktikan bahawa rundingan tersebut bukan sekadar perbincangan kecil, sebaliknya mempunyai implikasi lebih besar terhadap landskap politik semasa.

Beliau berpandangan isu itu tidak boleh dilihat sebagai rundingan biasa menjelang pilihan raya negeri semata-mata, tetapi berkait dengan hala tuju kerjasama politik antara parti-parti utama dalam blok Melayu.

“Ini bukan isu kecil atau perbincangan biasa. Bila ada percanggahan kenyataan, itu menunjukkan rundingan ini lebih besar daripada yang cuba digambarkan kepada umum.

“Kalau benar hanya di peringkat bawahan, kenapa ada pengesahan tentang jawatankuasa rasmi? Ini memberi gambaran ia melibatkan keputusan strategik, bukan sekadar perbincangan tidak formal,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Analisis Astro AWANI sebelum ini menunjukkan lanskap politik negara masih berada dalam fasa penjajaran semula, khususnya melibatkan kerjasama antara parti-parti Melayu.

Kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu tidak menolak kemungkinan wujudnya perbincangan dengan Pas, namun pada masa sama menyifatkannya mungkin berlaku di peringkat bawahan, dilihat mencerminkan pendekatan berhati-hati parti itu dalam mengurus persepsi awam.

Sementara itu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan pimpinan parti itu pula kekal dengan pendekatan tidak mengesahkan atau menafikan secara jelas, sebaliknya menekankan keutamaan untuk bergerak ke hadapan, satu bentuk isyarat bahawa ruang kerjasama politik masih terbuka.

Pemerhati melihat situasi ini sebagai petunjuk bahawa pakatan sedia ada, termasuk Perikatan Nasional, belum sepenuhnya muktamad, dengan parti-parti utama terus menilai pilihan strategik masing-masing menjelang pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu Tun Faisal turut mempersoalkan sikap UMNO yang menurutnya dilihat cuba membuka saluran rundingan dengan Pas secara senyap walaupun berada dalam konfigurasi politik berbeza.

Katanya, kenyataan Ahmad Zahid yang menggambarkan rundingan itu berlaku di peringkat bawahan, bercanggah dengan pengesahan bahawa wujud jawatankuasa rasmi melibatkan wakil kedua-dua parti.

Menurut beliau, percanggahan tersebut menimbulkan persoalan mengenai ketelusan UMNO dan memberi gambaran bahawa parti itu cuba mengekalkan kelebihan politik dengan membuka pelbagai pilihan kerjasama.

Dalam masa sama, Tun Faisal mendakwa Pas yang dilihat semakin tidak konsisten dalam pendirian bersama PN.

Katanya, kesediaan Pas untuk mengadakan rundingan dengan UMNO menimbulkan persoalan sama ada parti itu benar-benar komited untuk kekal dalam gabungan tersebut atau sedang mempertimbangkan langkah lain.

“Persoalan besar sekarang ialah sama ada Pas masih komited dalam PN atau sedang mencari pilihan lain di luar gabungan itu.

“Ada juga kemungkinan Pas cuba mengukuhkan kedudukan dengan meningkatkan pengaruh dalam PN sendiri, termasuk menggunakan rundingan seperti ini sebagai kelebihan dalam tawar-menawar politik,” tegasnya lagi.

Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan itu merupakan strategi untuk mengukuhkan kedudukan politik masing-masing dalam landskap yang masih belum stabil.

Menurut Tun Faisal, rundingan yang berlaku tanpa penglibatan penuh rakan dalam PN menunjukkan wujud isu kepercayaan dalam gabungan itu, sekali gus memberi tekanan kepada Bersatu sebagai parti teras.

Tambahnya, situasi sedemikian berpotensi melemahkan struktur sedia ada sekiranya tidak ditangani dengan jelas, selain membuka ruang kepada perubahan penjajaran politik yang lebih besar.

Mengulas lebih lanjut, beliau melihat PRN Johor sebagai medan penting untuk menguji kedudukan dan pengaruh parti-parti dalam blok Melayu-Islam.

Katanya, apa yang berlaku bukan sekadar soal pembahagian kerusi, tetapi berkait rapat dengan persoalan siapa yang akan memimpin blok tersebut pada masa depan.

Beliau menegaskan bahawa jika trend rundingan di belakang tabir berterusan, ia boleh mencetuskan ketidaktentuan yang lebih besar dalam landskap politik, khususnya menjelang pilihan raya akan datang.

Must Watch Video

Advertisement