PRN Johor: Zahid kecewa nama ayahnya dihina, dipermainkan Muhyiddin

Firdaus Azil
Februari 19, 2022 04:05 MYT
Kata Ahmad Zahid lagi, jangan hanya kerana berbeda pendirian politik, sanggup pupus nilai kemanusiaan dan kesopanan sesama insan. - Foto fail/BERNAMA
JOHOR BAHRU: Berpolitik tidak perlu sampai tahap mempermain dan menghina nama keluarga, kata Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebagai anak, Presiden UMNO itu berkata, beliau sedih nama ayahnya dipermainkan dan dihina sebegitu rupa oleh bekas Perdana Menteri itu di khalayak ramai.
Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, jangan hanya kerana berbeda pendirian politik, sanggup pupus nilai kemanusiaan dan kesopanan sesama insan.
“Saya juga seperti anda, semua anak kepada seorang ayah. Allahyarham Raden Hamidi Raden Abdul Fateh bapa yang sangat saya kasihi dan sayangi.
“Itu bukan politik yang matang dan sejahtera. Bukan itu nilai politik yang mahu kita wariskan kepada pengundi muda kita dan generasi masa hadapan negara.
“Hal ini tidak boleh disamakan dengan pendedahan saya tentang nama sebenar seorang pemimpin politik berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beberapa tahun lalu,” katanya lagi.
Sewaktu berucap di Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Bahagian Mersing, di Felda Tenggaroh 3, Mersing pada 17 Feb lepas, Muhyiddin dilihat mempersenda nama Presiden UMNO itu dengan memanggilnya ‘Zahid Komedi’.
Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, mendakwa Ahmda Zahid, dan Datuk Seri Najib Tun Razak cuba meminta beliau untuk berbuat sesuatu tentang kes mahkamah yang mereka hadapi.
Katanya lagi keengganan itu menyebabkan beliau hilang jawatan Perdana Menteri, selepas Ahmad Zahid menarik balik sokongan menyebabkan tugasnya untuk mengawal penularan COVID-19 dalam negara terhenti.
BACA: PRN Johor: 'Kerana kluster mahkamah, tugas saya tangani COVID-19 tidak selesai' – Muhyiddin
Mengulas mengenai dakwaan itu, Ahmad Zahid berkata, jika benar beliau marah kerana Muhyiddin tidak mahu melepaskan kes mahkamah, pastinya Muhyiddin tidak mampu jadi Perdana Menteri sehingga 17 bulan lamanya.
“Jika benar saya marah beliau tidak mahu melepaskan kes mahkamah pasti sudah lama Malaysia berdepan PRU15. (Nota: ini bukan ugutan tekan butang.)
“Malah saya cekal menghadapi pendakwaan terpilih yang dikenakan oleh kerajaan Pakatan Harpaan terhadap saya diatas prinsip berani kerana benar. Tidak sesekali saya sanggup menggadaikan UMNO apatah melompat parti mahupun berselingkuh dengan musuh untuk mengelak daripada didakwa,” katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata, jika seseorang yang yakin dirinya tidak bersalah, satu-satunya yang diharapkan cumalah perbicaraan yang adil dan saksama.
Sebaliknya, individu yang harus dipertikai ialah Muhyiddin sendiri, yang dakwanya sanggup memutar belit tentang Ordinan Darurat, merancang ‘scheme of things’, dan menawarkan ‘sogokan’ terbuka di kaca TV.
“Percayalah sikap 'angkat bakul' Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan kutukannya terhadap saya serta nama bapa saya bukan nilai sebenar Bangsa Johor,” kata Ahmad Zahid lagi.
#Johor Memilih #Ahmad Zahid Hamidi #Muhyiddin Yassin #PRN Johor