MERSING: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi dakwaannya bahawa dua pemimpin kanan UMNO cuba meminta beliau untuk berbuat sesuatu tentang kes mahkamah yang mereka hadapi.

Menamakan dua pemimpin itu sebagai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak, Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, beliau enggan melayani permintaan itu kerana tidak mahu mencampuri urusan mahkamah.

Namun, dakwa Muhyiddin lagi, keengganan itu menyebabkan beliau hilang jawatan Perdana Menteri, selepas Ahmad Zahid menarik balik sokongan menyebabkan tugasnya untuk mengawal penularan COVID-19 dalam negara terhenti.

“Saya beritahu Zahid saya tak boleh campur. Kalau dia tak buat okeylah. Tentu mahkamah cakap dia tak salah, dan bebas. 

"Rupanya dia marah dan tak puas hati. Hantar banyak delegasi, kawan dia, minta tangguhkan kes, lambatkan kes. Saya mana boleh buat begitu. Ini soal urusan mahkamah.

“Satu hari kemudian, bos awak, ‘malu apa bosku’ (Najib) datang ke pejabat saya beri penghormatan kepada saya Perdana Menteri.

"Dalam cerita punya cerita, cerita tu juga pasal kes mahkamah. Minta saya keluarkan Datuk Seri Gopal Sri Ram (dari kes beliau),” kata Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

PRN Johor | PN jauh lebih baik daripada BN - Muhyiddin

Ekoran ketegasan beliau tidak mahu melayani permintaan itu, Muhyiddin mendakwa, ia menyebabkan beliau hilang sokongan daripada 15 Ahli Parlimen UMNO, sekali gus menyaksikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Bahagian Mersing, di Felda Tenggaroh 3, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dominic Lau, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Dr Latiff Ahmad, dan Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengingatkan rakyat Johor bahawa Perikatan Nasional jauh lebih baik berbanding Barisan Nasional, khususnya dari segi integriti serta tegas dalam agenda antirasuah.

"Kalau PN bertanding, ini satu permulaan yang penting, jadi saya nak minta orang Johor fikir semasak-masaknya.

"Time for UMNO is over, sudah berlalu. UMNO tak perlu wujud di Johor.

"Walaupun Johor dahulu kubu kuat BN, kerana UMNO lahir di Istana Besar JB, tapi itu UMNO dulu. Sekarang dah koyak rabak.

“UMNO nampak okey, tapi macam macam barah di dalamnya. Salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.

"Sebab itu PN yang saya bina, dengan kerjasama Pas. Ini platform politik jauh lebih baik.

“Kerana kita menentang salah guna kuasa. Calon-calon kita nanti kena angkat sumpah, untuk tidak akan menyalah guna kuasa serta mengamalkan rasuah,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan masyarakat Felda tentang inisiatif kerajaan di bawah pimpinan beliau untuk melupuskan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion.

“Hampir semua peneroka, saksi, berhadapan dengan hutang begitu banyak.

"Saya faham, lepas berpuluh tahun pokok nak tanam baru, pinjam. Sampai hampir RM8.3 bilion hutang peneroka di seluruh negara.

“Jadi saya tubuhkan jawatankuasa petugas dipimpin Tan Sri Wahid Omar.

"Dan mereka datang balik minta saya  pertimbangkan, yang peneroka ini dibelenggu dengan masalah hutang tak selesai. Berapa jumlah? RM8.3 bilion, dan kita langsaikan,” katanya lagi.

Atas sebab itu, Muhyiddin berkata, beliau berharap agar rakyat Johor, khususnya masyarakat Felda dapat memberi sokongan kepada calon-calon PN, bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan yang lebih baik daripada pihak lawan.