ALOR SETAR: Status Kedah sebagai 'swing state' atau senario politik negeri sering berubah, bakal ditentukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sama ada Perikatan Nasional (PN) mampu kekal berkuasa atau gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berupaya memadamkan 'gelombang hijau' untuk mengambil alih kerajaan negeri.

Melihat kepada situasi semasa, penganalisis politik berpandangan gelombang hijau yang dikatakan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas yang menyaksikan PN menguasai 14 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri ini dilihat sudah semakin surut.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata tempoh kira-kira tujuh bulan selepas PRU lepas tidak boleh dijadikan penanda aras kekuatan PN untuk menghadapi PRN kali ini.

"Dinamik politik telah berubah, penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan dasar-dasar yang telah diperkenalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dapat dilihat dan dirasai, rakyat Kedah boleh menilai semua itu.

"Jika PRN ini diadakan dalam tempoh terdekat dengan PRU lalu mungkin momentum gelombang hijau itu memberi kesan kepada PRN, tapi tempoh tujuh bulan agak lama, pengundi muda juga khususnya sudah dapat menilai apa yang dilakukan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kedah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun PN mempunyai kekuatan, namun gabungan PH dan BN dilihat mempunyai potensi untuk mengambil alih Kedah disebabkan beberapa faktor antaranya sejarah negeri itu sebagai 'swing state' di mana parti-parti politik utama mempunyai peluang yang sama untuk menang.

"Jika dilihat sejarah Kedah selepas beberapa tahun diperintah oleh BN sehingga 2008, PAS mengambil alih pada 2008 hingga 2013 dan BN mengambil alih semula pada 2013 hingga 2018, sebelum dimenangi PH pada 2018.

"Kerajaan PN yang ada hari ini bukan dibentuk oleh kemenangan dalam pilihan raya. Jadi tidak mustahil Kedah akan berubah pentadbiran lagi selepas PRN ini kerana pola pengundian rakyat," katanya.

Beliau berkata faktor lain yang mungkin boleh mempengaruhi rakyat untuk melakukan perubahan adalah hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat yang seharusnya perlu dijaga untuk kepentingan rakyat.

"Faktor lain adalah penilaian rakyat terhadap kemampuan kerajaan negeri Kedah ketika ini dalam menangani pelbagai isu. Kalau kejayaan membawa masuk pelaburan yang banyak itu dijadikan sandaran, itu semua usaha agensi-agensi kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Muhammad Izmer Yusof mempunyai pandangan berbeza mengenai momentum PN untuk menghadapi PRN ini.

Beliau yang juga Pensyarah di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi di universiti berkenaan berkata melihat kepada kehadiran orang ramai di program dan ceramah PN, gelombang hijau masih wujud.

Menurut beliau, gabungan PH-BN di peringkat Persekutuan perlu melakukan sesuatu yang drastik untuk mengalih sokongan rakyat kepada mereka termasuk satu dasar 'quick win' yang dapat memberi kesan secara segera kepada rakyat.

"Jika kita lihat kerajaan sebelum ini memperkenalkan dasar-dasar yang memberi kesan segera dan menyeluruh kepada rakyat termasuk pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), moratorium dan sebagainya. Ini adalah perkara-perkara yang dirasai oleh rakyat berbanding peruntukan-peruntukan pembangunan dan pengurusan yang tidak dirasai," katanya.

Selain itu, parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya UMNO perlu mengetengahkan kerangka untuk menarik semula sokongan pengundi Melayu di Kedah kepada mereka selepas kalah teruk dalam PRU lepas.

Kedah mempunyai 36 kerusi dengan kedudukan sebelum pembubaran DUN Kedah menyaksikan PN memiliki 20 kerusi (PAS-14, Bersatu-6); PH memiliki 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2); BN memiliki dua kerusi (UMNO-2) dan Pejuang (2).

Dua lagi kerusi kosong apabila ADUN Gurun dari PKR Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Dis tahun lepas, yang kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala ADUN Belantek Datuk Mohd Isa Shafie yang meninggal dunia 14 Jun lalu.

-- BERNAMA