ALOR SETAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa parti itu berkemampuan untuk memenangi 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) didalam Pilihanraya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya, jangkaan berkenaan dibuat berdasarkan keputusan yang diperoleh di 15 kerusi Parlimen didalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan PN menang 14 daripadanya.

"Tentulah (situasi) itu (berlaku), kita (semua) sudah tahu gabungan itu akan (berlaku), PH akan bekerjasama dengan BN, (perkara itu) sudah berlaku di peringkat Persekutuan, (jadi) di peringkat negeri pun akan berlaku benda yang sama (terutama menjelang PRN),

"Saya sudah tengok angka yang kita dapat di Kedah, kalau undi PH campur dengan undi BN, PN (masih boleh) menang lagi (dan kekal mentadbir Kedah), mereka hanya boleh menang tiga kerusi (sahaja), (iaitu di DUN) Kota Darul Aman, Bakar Arang, Sidam.

"Kalau ikut daripada pencapaian parti PN pada PRU15 (melibatkan 15 kerusi) Parlimen, tiga itu sahaja (dijangkakan akan) kalah, kalau mereka campur (bergabung) dua (parti itu), campurlah lagi (pun kita akan menang dengan keputusan) 33-3," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Menteri Besar Kedah kepada Penjawat Awam Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Kedah itu menyatakan bahawa momentum sokongan yang sedang dibina PN ketika ini sedang meningkat dan menjadi pemangkin kepada usaha parti itu dalam mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri.

"Kita (sudah) buat kerja sehabis baik dan termampu untuk dilakukan, rakyat (juga sedang) menilai (terutama pihak yang) semasa ceramah kempen pilihan raya mengatakan semua mereka boleh lakukan,

"Hat (perkara) ini depa (mereka) reti (pandai) buat, hat nu (perkara yang lain) orang tidak pandai, tetapi (mereka) pandai.

"Namun, (selepas sebulan) jadi (kerajaan), tidak tahu hendak buat apa lagi, formula itu tidak boleh dipakai," tambahnya.

Untuk rekod, pada 8 Disember lalu, Sanusi menyatakan PN dilihat mampu memenangi kesemua 36 kerusi DUN serentak dengan PRN.

Menurutnya, keyakinan itu dizahirkan selepas gabungan itu menang di 14 kerusi daripada kesuruhan 15 kerusi Parlimen di negeri Jelapang Padi itu.