SEREMBAN : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menjangkakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilaksanakan pada Mei ini.

Jelas Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan itu, beliau turut menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di antara Jun atau Julai nanti.

"Kalau kita bubar hujung Mei bermakna PRN boleh diadakan pada Jun dan seawal Julai.

"Kita tiada masa lagi, kita tinggal beberapa bulan lagi untuk harungi PRN, kalau kita tolak cuti Tahun Baharu Cina, bulan Ramadan akan datang dan beberapa hari kebesaran.

"Kita rasa, kita tinggal tak lama lagi, saya berharap tuan-tuan bersedia mengatur langkah bagi memastikan kemenangan kita," katanya ketika berucap dalam Konvensyen Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan pada Ahad.

Tambah Aminuddin, jentera PKR perlu bersiap sedia sekiranya perkara itu berlaku.

Mengulas mengenai sama ada Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), ujar Aminuddin, perkara itu diserahkan kepada Majlis Pimpinan PH.

"Kita lihat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pelbagai andaian, pandangan pelbagai gossip kepada kita (untuk) bersama dengan BN.

"Sama ada kita bersama atau tidak akan diputuskan dalam tempoh terdekat... kita serah kepada Majlis Pimpinan PH.

"Kita harap ada keputusan segera menjelang Februari ini, kita berharap ini untuk kita aturkan bagaimana strategi bersama dengan BN atau pakatan lain," katanya lagi.

Hadir sama dalam konvensyen itu ialah Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan lebih 600 ahli PKR Negeri Sembilan.