JASIN: Berbaki kurang 48 jam sebelum hari pengundian, calon muka baharu Barisan Nasional (BN) Datuk Khaidirah Abu Zahar atau Dira terus meningkatkan momentum untuk turun berkempen menemui seramai mungkin pengundi.

Tidak menjadikan kedudukan sebagai anak bekas Ketua Menteri dan anak seni sebagai kelebihan, beliau mengakui bukan mudah untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim yang dimenangi BN sebelum ini.

“Memang ia merupakan satu kelebihan (anak seni), tetapi bukan satu keistimewaan untuk saya mengambil mudah, kerana untuk dikenali sebagai seorang pemimpin skopnya berbeza.

“Yang paling penting adalah bagaimana saya hendak membawa reputasi sebagai seorang pemimpin wanita muda kerana itu yang menjadi cabaran buat saya... sebab semua orang kenal (saya) lama, (tapi) orang tengok di televisyen sahaja.

“Sesetengah orang fikir apa yang saya buat ini hanya berlakon... tidak ini bukan berlakon. Maksudnya jika saya mahu berlakon lebih baik saya kekal sebagai pelakon, tetapi saya buat semua ini sebagai tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Cafe Markisa, di sini pada Khamis.

Mengulas sentimen penerimaan pengundi sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sejak hari penamaan calon pada 8 November lalu, jelasnya beliau yakin mampu memperoleh mandat rakyat Sabtu ini.

Jelasnya, terdapat banyak perkara yang telah disuarakan penduduk setempat terutama melibatkan golongan wanita dan belia yang perlu diberi perhatian.

“Saya ada sesi berbual, bukan sekadar memperkenalkan diri tapi kita beri ruang dan peluang kepada pengundi untuk bertanya, untuk membawa isu dan sebagainya. Antaranya capaian Internet yang lemah, ini adalah perkara yang sudahpun diajukan banyak kali dan sebelum ini tidak dapat diusahakan.

“Jadi apa yang sepatutnya kita buat dalam kempen saat-saat akhir ini adalah berdasarkan apa yang kita tawarkan kepada rakyat, itu yang mereka mahu dengar,” tambahnya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), calon BN, Datuk Ghazale Muhamad menang di DUN Rim dengan majoriti 536 menewaskan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR) dan Kintan Man (Pas).