MELAKA: Selain menyiarkan biodata dan poster calon melalui televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) juga akan memberikan ruang kepada calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyatakan aspirasi mereka melalui saluran radio MelakaFM.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu telah pun dibincangkan bersama Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran dan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Melaka bagi membantu calon berkempen melalui siaran rasmi kerajaan.

"...sementara untuk radio MelakaFM saya benarkan mereka untuk bantu dengan cara mereka boleh diberikan ruang untuk datang ke studio atau membuat rakaman untuk disiarkan secara voice (suara).

Kita memberi peluang kepada calon nyatakan dalam masa beberapa minit aspirasi mereka sekiranya mereka dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu," katanya pada sidang media selepas sesi temu bual dengan radio MelakaFM di sini hari ini.

Annuar berkata walaupun jumlah calon ramai tetapi MelakaFM boleh menyelaras supaya semua calon mendapat peluang yang sama.



MELAKA-ANNUAR (RADIO) 2 (AKHIR) MELAKA



Ia juga sebagai langkah tambahan bagi calon berkempen selain menggunakan media sosial berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk berkempen kali ini dengan mengambil kira capaian internet yang rendah di sesetengah kawasan.

Semalam Annuar berkata kerajaan membenarkan RTM untuk menyiarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada PRN Melaka bermula hari ini.

Sementara itu, mengulas sama ada kaedah itu akan diguna pakai dalam PRN Sarawak, Annuar berkata beliau akan melihat terlebih dahulu tahap prasarana di sana kerana ada kawasan yang tiada capaian langsung.

"Saya akan lihat bagaimana, mungkin radio tahap kesampaian siaran lebih baik, kalau televisyen mungkin sukar sedikit tetapi mesej yang nak disampai kepada pengundi kerana itu adalah hak kepada mereka mengenali sebelum mereka memilih wakil rakyat pilihan mereka, jadi kita akan bantu proses itu without favour (tanpa pilih kasih)," katanya.

Sementara itu, katanya, masih ramai calon yang belum memberikan maklumat bagi disiarkan di saluran televisyen RTM mungkin kerana perkara berkenaan baharu diputuskan semalam dan calon terlalu sibuk berkempen.

Justeru katanya, beliau telah meminta pegawai termasuk setiausaha politik menghubungi setiap calon kerana tidak mahu ada yang tertinggal untuk berlaku adil kepada semua.

"...walaupun saya faham mereka tengah sibuk kecuali mereka tidak mahu itu kita tidak boleh memaksa ia satu option (pilihan) selain daripada kempen yang mereka jalankan melalui Facebook, Twitter dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA