MASJID TANAH: Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka akan memastikan bahawa perlindungan diberikan terhadap nelayan dan penduduk di pesisir pantai.

Menurut calon N.02 Tanjung Bidara, yang juga Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, ia bagi memastikan tiada pihak terkesan susulan projek penambakan pasir yang dijalankan di pesisir pantai negeri itu.

Mengulas mengenai isu tambakan laut, jelas Ab Rauf, projek terbabit dibuat mengikut kajian terperinci sebelum diluluskan.

"(Isu) pesisir pantai yang (dikaitkan) projek tambakan laut ini telah diluluskan bukan (dalam tempoh) 18 bulan kerajaan negeri yang ditadbir urus BN, tetapi ketika kerajaan diambil alih oleh Pakatan Harapan. 

"Ia projek yang telah dibuat kajian dan memberikan impak ekonomi besar kepada Melaka pada masa jangka panjang.

"Kaedah pelaksanaan dan pengurusan projek telah diperincikan kerajaan negeri, selain telah meluluskan enakmen baharu mengawal selia kesan tambakan laut," jelasnya.

Tambahnya, proses kajian itu melibatkan soal kesan terhadap ekosistem hidupan laut.

"Jadi kesannya adalah baik dan semua proses tambakan laut tidak akan diberikan kelulusan penambakan sebelum kajian EIA, HIA, dan FIA dibuat.

"(Setelah) semua kajian dibuat barulah kerajaan negeri memberi kelulusan tambak laut tanpa mengetepikan hak mereka cari rezeki di pesisir pantai. Nelayan juga diberi perlindungan termasuk di kawasan yang telah ditambak," jelasnya lagi.

Tambah Ab Rauf, pelbagai penambahbaikan akan diusahakan BN dalam memastikan hak nelayan serta penduduk pesisir pantai terpelihara.

"Kita akan menambah baik supaya faedah dapati bersama, mereka mencari rezeki di laut juga harus diberi perlindungan.

"Sesungguhnya perlindungan ini akan dilihat pelbagai sudut supaya perlindungan seimbang dengan masyarakat setempat," ujar calon N.02 Tanjung Bidara itu.