BEMBAN: Kekangan jaringan internet antara cabaran yang terpaksa dihadapi jentera pilihan raya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sepanjang tempoh berkempen dalam suasana norma baharu.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Negeri, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, kekangan itu secara tidak langsung memerlukan calon sentiasa berusaha mencari kaedah baharu untuk menjadi calon populis sekali gus mendapat mandat pada 20 November nanti.

“Masalah internet timbul di kawasan yang jaringan internetnya tidak terlalu pantas. Ia tentu menjadi masalah pada calon yang akan bertanding di kawasan tersebut.

“Macam manapun, calon terpaksa berfikir di luar kotak untuk mencari cara bagi menyampaikan apa yang perlu dijelaskan kepada rakyat.

“Ini (kempen atas talian) kelebihan kepada calon yang telah dikenali di kawasan tersebut atau mungkin telah membuat banyak kerja kebajikan, kerja kemasyarakatan. Itu lebih mudah berbanding orang yang baru masuk ke kawasan sebagai calon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PN Parlimen Jasin di Jasin Bestari di sini hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, PN juga akan menggunakan enam treler berskrin besar yang akan digerakkan di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terutamanya di kawasan yang mempunyai jaringan internet terlalu lemah.

“Salah satu kaedah yang disajikan PN adalah menggunakan treler berskrin besar yang akan digerakkan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Calon juga perlu kreatif menggunakan pendekatan untuk menyantuni rakyat dengan SOP agak ketat dan sebagai calon juga, saya sendiri akan memberikan fokus kepada masalah banjir dan pembangunan sektor pendidikan di DUN ini,” tambahnya.

Mohd Yadzil yang merupakan calon DUN Bemban bakal berdepan saingan lima penjuru menentang Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew (PH), Koh Chin Han (BN), Azmi Kamis (Bebas) dan Ng Choon Koon (Bebas).

Sebelum ini Datuk Dr Wong Fort Pin dari PH mendapat 6,998 undian ketika menentang Datuk Koh Chin Han Barisan Nasional (BN)  dengan 5,653 undi dan calon PAS, Suhaimi Harun, mendapat 2,762 undi.