AYER KEROH: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menyaksikan 'game changer' politik di Negeri Melaka sekiranya calon-calon Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Menurut Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, calon yang diketengahkan gabungan itu adalah tawaran terbaik buat rakyat Melaka yang inginkan politik lebih segar.

"Bagi PN sudah tentu Datuk Mas Ermieyati Samsudin...  pada kita, (merupakan) calon yang kita mahu supaya pengundi berikan tumpuan dan menyokong beliau.

"Kalau dia (Mas Ermieyati) menang, ini membuktikan bahawa rakyat telah memahami bahawa (adalah) penting pada kita (untuk mengetengahkan) calon-calon (yang) bukan hanya muda, tetapi mampu membantu rakyat," jelasnya.

Tambah Hamzah, Mas Ermieyati yang juga calon PN di N.02 DUN Tanjung Bidara itu mempunyai kelebihan berbanding calon daripada parti lain.

Malah, katanya Mas Ermieyati juga merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Saya memohon bukan hanya kepada pengundi di Tanjung Bidara, tapi kalau Tanjung Bidara boleh berikan kemenangan kepada PN, ia akan jadi 'game changer' (politik) untuk egeri Melaka.

"Ini akan jadi contoh kepada seluruh negara dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang, ini harapan rakyat menunjukkan bahawa mereka bersedia mencari pemimpin yang penuh dengan intergriti dan mampu menjadi pemimpin mereka masa hadapan," ujar Setiausaha Agung PN itu lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Bilik Gerakan Media PRN Melaka di sini pada Selasa.