Ringkasan AI
- Parti Bersama Malaysia melancarkan manifesto PRN Melaka dengan fokus kepada kemapanan kewangan, kepelbagaian ekonomi dan ancaman kenaikan aras laut.
- Manifesto menekankan perancangan jangka panjang infrastruktur, reformasi sistem demokrasi, serta pengukuhan program sosioekonomi rakyat dan pendidikan.
- Bersama mencadangkan agihan kerusi ADUN lantikan berdasarkan undi popular dan sekurang-kurangnya 30 peratus perbelanjaan negeri untuk program sosioekonomi rakyat.
MELAKA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) menjadi parti pertama yang melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan tumpuan kepada kemapanan kewangan kerajaan negeri, kepelbagaian ekonomi, dan ancaman kenaikan aras laut.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli berkata manifesto setebal 23 muka surat itu turut memberi penekanan kepada pengukuhan urus tadbir dan sistem demokrasi serta pengukuhan program sosioekonomi rakyat.
Beliau berkata, antara agenda dalam manifesto tersebut merangkumi sasaran nisbah peningkatan hasil kerajaan negeri sebanyak lima peratus berbanding pertambahan perbelanjaan tiga peratus, bagi memastikan kedudukan kewangan negeri lebih mampan.
"Pertumbuhan ekonomi yang tidak lagi bergantung kepada sektor hartanah sebagai punca hasil terbesar kerajaan negeri.
"Kedudukan Melaka yang berhampiran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) juga berpotensi dimanfaatkan bagi membangunkan sektor automasi dan perkhidmatan sebagai sokongan kepada operasi kilang di zon berkenaan.
"Bidang kedua ialah pelancongan berasaskan kesihatan. Ketiga, pelancongan peruncitan dan perkhidmatan. Keempat, Ekonomi Biru - bukan sahaja logistik marin dan perikanan, tetapi penjanaan tenaga biru di pesisir pantai," katanya dalam sidang media ketika melancarkan Manifesto Bersama, di sini pada Isnin.
Selain itu, manifesto tersebut menggariskan Pelan Infrastruktur Melaka 2050 (PIM2050) ke arah mempersiapkan Melaka menghadapi ancaman bencana.
Rafizi berkata, perancangan jangka panjang itu akan memberi tumpuan kepada perancangan bandar, guna tanah dan pembangunan infrastruktur secara bersepadu dengan mengambil kira ancaman kenaikan aras laut dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
Menurutnya, berdasarkan laporan kerajaan, seramai 462,259 penduduk berada di zon pesisiran pantai Melaka pada 2020.
Berdasarkan laporan tersebut lagi, ujar Rafizi keluasan kawasan berisiko mengalami inundasi atau ditenggelami air ketika air pasang dijangka meningkat daripada 25 kilometer persegi pada 2022 kepada 32 kilometer persegi menjelang 2050.
Katanya, kawasan yang dikenal pasti terdedah kepada ancaman itu termasuk Kuala Linggi, Klebang dan Bandar Melaka.
"Perancangan infrastruktur tidak boleh lagi dibuat berdasarkan tempoh dua hingga tiga tahun, sebaliknya perlu mempunyai perancangan jangka panjang supaya ancaman kenaikan aras laut dapat ditangani secara berperingkat sebelum menjadi bencana lebih besar," jelas Rafizi.
Mengenai Reformasi Sistem Demokrasi pula, Rafizi berkata parti itu mencadangkan pelaksanaan sistem Perwakilan Berkadar bagi pengagihan tujuh kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang diluluskan di Melaka.
Mohd Rafizi berkata menerusi cadangan itu, kerusi berkenaan akan diagihkan berdasarkan peratusan undi popular yang diperoleh parti-parti bertanding, dan bukan diberikan sepenuhnya kepada parti yang membentuk kerajaan negeri.
Di bawah Pengukuhan Program Ekonomi Sosio Ekonomi Rakyat, lima inisiatif digariskan, antaranya mencadangkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada perbelanjaan kerajaan negeri disalurkan secara langsung kepada program sosioekonomi rakyat.
Selain itu, Dasar Peluang Setempat yang akan mewajibkan penilaian impak sosial yang lebih menyeluruh sebelum kelulusan pembangunan diberikan, termasuk pelan peluang pekerjaan tempatan.
Bagi sektor pendidikan pula, Bersama bercadang membentuk 70 kelompok sekolah yang masing-masing menggabungkan empat hingga lima sekolah, dengan peruntukan Geran Kelompok RM350,000 bagi perkongsian kepakaran, sukan dan latihan guru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November depan sebagai Hari Pengundian bagi PRN Melaka ke-16.