MELAKA: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyangkal dakwaan kononnya pemilihan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri hanya ‘strategi sementara’ dan tidak akan direalisasikan meskipun jika Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga menegaskan, keputusan dibuat pucuk pimpinan itu adalah tepat mengambil kira calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu mempunyai pengalaman luas dalam dunia politik mahupun selok-belok pentadbiran kerajaan.

“Kenapa tidak mungkin direalisasikan? Kami telah berjanji jika rakyat memilih dan bersetuju dengan agenda PN untuk menubuhkan kerajaan negeri, tentulah janji mengangkat Mas Ermieyati sebagai ketua menteri akan ditunaikan.

“Kami amat yakin dengan kewibawaan Mas Ermieyati kerana beliau cukup berpengalaman luas dalam kerajaan dan parti, juga optimis beliau mampu menubuhkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rayat lebih-lebih lagi calon PN terdiri daripada golongan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bandar Hilir di sini, pada petang Jumaat yang turut dihadiri Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Mengulas lanjut ujarnya, tawaran dibuat gabungan parti itu juga merupakan sesuatu yang segar dalam landskap politik negara selain jelas membuktikan jantina tidak lagi menjadi kayu ukur untuk mengemudi sesebuah kerajaan.

“Ini menunjukkan PN tidak memilih jantina tetapi lebih menitikberatkan kemampuan seseorang yang mana membuka mata dunia bahawa Malaysia tidak pilih jantina untuk mengemudi pentadbiran sesebuah kerajaan.

“Jadi besar harapan PN untuk meraya semua pengundi di Melaka keluar menunaikan tanggungjawab pada esok dan memberi peluang kepada kami mentadbir kerajaan negeri ini,” tambahnya.

Selain itu, diaju soal sasaran kerusi yang bakal dimenangi, jelasnya fokus parti itu hanya memenangi semua kerusi dan bekerja keras sehingga tempoh terakhir berkempen jam 12 tengah malam ini.

“Apabila kita meletakkan sasaran untuk bertanding di 28 kerusi DUN, bukanlah kata kami optimis memenangi semua kerusi itu tetapi kita perlu bekerja keras sehingga tengah malam ini untuk pastikan semua kerusi kita tandingi boleh menang,” tambahnya.