Ringkasan AI
- MCA dicabar keluar BN atau mendesak pembubaran gabungan itu jika mahu mempertahankan maruah politik parti tersebut.
- Chong Zhemin mendakwa MCA tidak lagi mempunyai suara dalam pembahagian kerusi pilihan raya dan keputusan dibuat secara sebelah pihak oleh UMNO.
- MCA menegaskan tindakan pengumuman calon tanpa rundingan mencabuli semangat muafakat BN dan tidak boleh diterima oleh parti itu.
KUALA LUMPUR: MCA dicabar keluar daripada Barisan Nasional (BN) atau mendesak pembubaran gabungan itu sekiranya benar-benar mahu mempertahankan maruah politiknya.
Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkata, tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengetuai pemimpin parti itu meninggalkan majlis BN Melaka pada Sabtu hanya akan menjadi 'lakonan politik' jika tidak disusuli keputusan tegas.
Menurutnya, tindakan itu turut mendedahkan kedudukan sebenar MCA dalam BN yang didakwanya tidak lagi mempunyai suara dalam menentukan pembahagian kerusi pilihan raya.
Beliau mendakwa UMNO bukan sahaja menentukan pengagihan kerusi tanpa persetujuan MCA, malah sanggup menyerahkan kerusi tradisi parti itu kepada pihak lain bagi membuka laluan kepada kerjasama dengan Pas dan sekutunya.
"Apa lagi yang lebih jelas membuktikan MCA tidak mempunyai suara dalam BN selain pengakuan presidennya sendiri? UMNO menentukan pembahagian kerusi, MCA hanya perlu hadir, menerima keputusan dan bertepuk tangan," katanya.
Zhemin berkata demikian menerusi kenyataan media hari ini selepas mengadakan lawatan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Woo Kah Leong di Kampung Baru Wah Loong, Kampar.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengungkit pendirian bekas Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada September 2018 yang pernah menyatakan kesediaan parti itu mendesak pembubaran BN atau penyingkiran UMNO sekiranya menjalinkan kerjasama rasmi dengan Pas.
"Adakah MCA menentang kerjasama UMNO dan Pas kerana prinsip, atau hanya tidak berpuas hati apabila kerusi sendiri dikorbankan? Adakah dengan diberikan beberapa kerusi tambahan, kerjasama yang sebelum ini ditolak tiba-tiba boleh diterima?" soalnya.
Tegasnya, jika Ka Siong benar-benar mahu mempertahankan maruah MCA, beliau perlu membuktikan parti itu masih mampu membuat keputusan politik secara bebas dan bukan sekadar menunjukkan bantahan.
Terdahulu, Ka Siong bersama beberapa pemimpin MCA meninggalkan majlis BN Melaka selepas mendakwa pengumuman calon dan pembahagian kerusi dibuat tanpa rundingan serta persetujuan parti itu.
MCA dalam hari ini mengesahkan tindakan meninggalkan majlis berkenaan selepas mendakwa pihaknya pada awalnya dimaklumkan program itu hanya bertujuan melancarkan jentera pilihan raya BN.
Bagaimanapun, parti itu mendakwa pengumuman calon turut dimasukkan dalam atur cara tanpa pengetahuan kepimpinannya, selain keputusan pembahagian kerusi dibuat secara sebelah pihak tanpa rundingan terlebih dahulu.
MCA menegaskan tindakan sedemikian mencabuli semangat muafakat dalam BN dan tidak boleh diterima kerana keputusan membabitkan kerusi pilihan raya sepatutnya dibuat menerusi perbincangan serta persetujuan parti komponen.