KUALA LUMPUR: Pas akan meletakkan calonnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan, namun mereka dilihat bukanlah sebuah parti yang kuat dan mampu memberi tentangan.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Ahmad Marthada Mohamed sebaliknya berpendapat, peranan Pas lebih terarah kepada bagaimana mereka mahu memastikan tiadanya perpecahan undian pengundi Melayu.

"Pas ada hubungan baik dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) dan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN), jadi peranan mereka sebenarnya ialah untuk memastikan kedua-dua parti ini boleh bekerjasama kerana kedua-duanya saling mengharapkan sumbangan Pas juga.

"Jika Pas boleh menjadi orang tengah dan terjalinnya kerjasama sudah pasti ia boleh membawa kemenangan tetapi jika tiada kerjasama, kedudukan Pas juga sukar sebenarnya kerana hubungan baiknya dengan kedua-dua parti berkenaan.

"Setakat ini, belum ada kepastian kerjasama itu akan dilakukan kerana tugas meletakkan calon, khususnya di 20 kerusi yang majoritinya pengundi Melayu, bukan perkara mudah," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Sabtu.

Tambahnya, seandainya berlaku pertembungan, Pakatan Harapan dilihat mempunyai peluang lebih besar untuk menang kerana perpecahan undi akan memihak kepada mereka.

Beliau juga tidak melihat adanya impak kemunculan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang akan bertanding buat kali pertama dalam PRN Melaka nanti.

"Kalau kita lihat sejarah lanskap politik negara, parti politik kecil selalunya tiada peluang dan tidak akan beri impak. Ini kerana parti-parti kecil ini tidak mempunyai sokongan grassroot jadi sukar untuk mereka tarik pengundi," jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, dengan hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 16 November.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat Ahli DUN (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.


PRN Melaka | Percaturan Pas dalam lanskap politik Melaka